
PERAI, 17 September – Tindakan seorang remaja berusia 14 tahun memandu kereta membawa padah apabila kenderaan dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di Taman Chai Leng, di sini, Selasa lepas.
- Kemalangan berlaku kira-kira 4.50 petang di dua lokasi berasingan, bermula dari Lorong Kurau 23 ke Lebuh Kurau 5.
- Pemandu memasuki laluan melawan arus dan melanggar sebuah kereta; tiga kenderaan rosak, tiada kecederaan dilaporkan.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; polis nasihatkan ibu bapa pantau anak bawah umur.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 4.50 petang membabitkan dua lokasi berasingan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati remaja berkenaan memandu dari Lorong Kurau 23 menuju ke Jalan Kurau 1 sebelum melanggar sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan.
“Pemandu tersebut kemudiannya meneruskan perjalanan sebelum dipercayai memasuki laluan secara melawan arus di Lebuh Kurau 5 dan melanggar sebuah lagi kereta yang sedang bergerak di laluan yang betul,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Nik Aminuddin berkata, kemalangan itu mengakibatkan kerosakan pada ketiga-tiga kereta, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Katanya, polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 8.47 malam hari sama selepas satu video kejadian tular di media sosial.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya. Siasatan masih dijalankan,” katanya.
Beliau turut menasihati ibu bapa dan penjaga supaya memantau aktiviti anak-anak serta tidak membenarkan mereka yang masih di bawah umur memandu kenderaan.
“Perbuatan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh membahayakan keselamatan pemandu serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 45 saat yang tular di media sosial memaparkan sebuah kereta dipandu seorang remaja bawah umur dipercayai merempuh beberapa kenderaan dan tiang di kawasan medan selera Taman Chai Leng, di sini.
Rakaman itu turut menunjukkan orang awam berusaha menghentikan kenderaan berkenaan sebelum mendapati pemandunya ialah seorang remaja lelaki berusia 14 tahun.