
JEDDAH, 16 September – Rakyat Malaysia di beberapa kawasan di Arab Saudi dinasihat kekal tenang, berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan jika menerima amaran kecemasan menerusi Platform Amaran Awal Nasional Arab Saudi.
- Kawasan terlibat: Jeddah, Taif, Yanbu, Abha, Khamis Mushayt, Jizan, Najran, Al Ula dan kawasan lain.
- Jika boleh, berada di dalam bangunan; jauh dari tingkap, kawasan terbuka, balkoni dan bumbung.
- Jika memandu, berhenti selamat di tepi jalan; jauhi jambatan dan bangunan tinggi.
- Ikuti pengumuman rasmi; talian kecemasan 911 (Mekah/Madinah) atau 998; bantuan konsular kecemasan +966 57 309 9589.
Menerusi hantaran di Facebook, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah memaklumkan, nasihat itu melibatkan rakyat Malaysia yang berada atau melakukan perjalanan di Jeddah, Taif, Yanbu, Abha, Khamis Mushayt, Jizan, Najran, Al Ula serta kawasan lain yang mungkin menerima amaran berkenaan.
“Langkah keselamatan yang disarankan termasuk berada di dalam bangunan jika keadaan mengizinkan serta menjauhi tingkap, kawasan terbuka, balkoni dan bumbung.
“Mereka yang berada di luar pula dinasihatkan segera mendapatkan perlindungan di bangunan selamat atau berlindung di sebalik struktur kukuh,” menurut hantaran itu.
Rakyat Malaysia turut diminta mengelakkan kawasan sesak atau lokasi yang berpotensi berbahaya, selain tidak keluar semata-mata untuk mengambil gambar atau merakam video.
Bagi mereka yang sedang memandu, kenderaan disaran dihentikan dengan selamat di tepi jalan dan menjauhi jambatan serta bangunan tinggi.
Konsulat turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya terus mengikuti pengumuman rasmi pihak berkuasa dan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
Sekiranya berdepan situasi kecemasan, hubungi talian 911 bagi kawasan Mekah dan Madinah atau 998 bagi kawasan lain di Arab Saudi.
Bantuan konsular kecemasan daripada Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah pula boleh diperoleh menerusi talian +966 57 309 9589 yang beroperasi 24 jam.