
GOMBAK, 16 September – Kejohanan sulung Pink Swing Charity Golf 2026 yang diadakan 11 November ini menyasarkan dana kebajikan sebanyak RM100,000 bagi menyokong Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA).
- Kejohanan diadakan di Templer Park Country Club, Rawang, menghimpunkan pemain golf amatur dari sektor korporat, profesional dan komuniti tempatan.
- Dana disalurkan untuk program sokongan komuniti termasuk bra mastektomi dan prostesis silikon percuma bagi mangsa kanser payudara dalam golongan B40.
- BCWA bergantung kepada kerjasama untuk mengekalkan perkhidmatan percuma seperti lawatan hospital dan saringan awal melalui Klinik Bergerak MURNI.
- TPCC melancarkan kempen sokongan Oktober, menyumbang RM1 setiap pusingan dan komitmen untuk memadankan jumlah kutipan.
Diadakan di Templer Park Country Club (TPCC), Rawang, kejohanan amal yang dianjurkan bersempena ulang tahun ke-40 BCWA itu dijangka menghimpunkan pemain golf amatur daripada pelbagai sektor korporat, profesional serta komuniti sukan golf tempatan.
Pengurus Besar BCWA, Sumitra Selvaraj memaklumkan, inisiatif berasaskan sukan ini penting dalam membantu kelangsungan operasi persatuan berkenaan yang bergantung sepenuhnya kepada sokongan luar.
“Sasaran RM100,000 itu akan disalurkan kepada program khidmat sokongan komuniti di seluruh negara, termasuk penyediaan bra mastektomi dan prostesis silikon percuma bagi mangsa kanser payudara dalam kalangan golongan B40, serta pemeriksaan klinikal payudara oleh jururawat terlatih.
“BCWA bergantung kepada kerjasama sebegini untuk memastikan perkhidmatan penting kami, daripada lawatan hospital sehinggalah pemeriksaan saringan awal di bawah Klinik Bergerak MURNI, dapat terus disediakan secara percuma kepada masyarakat,” katanya menerusi kenyataan.
Sementara itu, pihak pengurusan TPCC turut melancarkan kempen sokongan sepanjang Oktober ini, dengan menyumbang RM1 bagi setiap pusingan golf yang dimainkan di kelab berkenaan kepada tabung BCWA.
Pengarah Urusan TPCC, Datuk Manibalan Kutty turut mengumumkan komitmennya untuk memadankan jumlah kutipan sepanjang Oktober.
Mengulas mengenai penglibatan kelab tersebut, Datuk Manibalan menjelaskan statistik semasa menunjukkan satu daripada 19 wanita di Malaysia berisiko menghidap kanser payudara, dan sukan merupakan medium yang berkesan untuk menyampaikan mesej kesedaran secara meluas.
“Kami mahu kejohanan ini memberi impak yang lebih besar dengan menyatukan individu yang meminati sukan golf untuk bersama-sama menyumbang kembali kepada masyarakat,” katanya.