ASEAN tempatkan bekalan bantuan di empat negara, percepat respons bencana serantau

REUTERS

MANILA, 16 September – ASEAN telah menempatkan lebih awal bekalan bantuan bencana di empat negara anggota bagi mempercepatkan mobilisasi bantuan apabila berlaku kecemasan dan bencana, lapor Philippine News Agency (PNA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Penempatan stok bantuan melalui AHA Centre di Filipina, Thailand, Malaysia dan Indonesia.
  • Tujuan menempatkan stok ialah mendekatkan sumber kecemasan kepada komuniti dan mempercepat mobilisasi bantuan.
  • Langkah melaksanakan pendekatan One ASEAN, One Response, memperkukuh penyelarasan dan pergerakan sumber merentasi sempadan.
  • AHA Centre sebagai pusat saraf pengurusan bencana, bekerjasama dengan agensi negara dan rakan serantau untuk kesiapsiagaan, tindak balas dan pemulihan.

Negara berkenaan ialah Filipina, Thailand, Malaysia dan Indonesia, menurut Timbalan Setiausaha Pejabat Pertahanan Awam Filipina, Harold Cabreros, pada taklimat media sempena Persidangan Menteri ASEAN mengenai Ketahanan Bencana (AMCDR) di Pasay City, Selasa.

Beliau berkata stok bantuan itu ditempatkan melalui Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan mengenai Pengurusan Bencana (AHA Centre), bertujuan mendekatkan sumber kecemasan dengan komuniti terjejas dan membolehkan negara anggota bertindak dengan lebih pantas.

“Kami sedang menubuhkan gudang serantau melalui AHA Centre. Gudang itu telah ditubuhkan di Filipina, Thailand, Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Cabreros menyifatkan AHA Centre yang berpangkalan di Indonesia sebagai “pusat saraf pengurusan bencana ASEAN”.

Beliau berkata kewujudan empat gudang serantau itu membolehkan negara anggota ASEAN menggerakkan sumber bantuan dengan lebih pantas, selain melengkapi usaha tindak balas bencana di peringkat nasional.

Menurutnya, langkah itu merupakan pelaksanaan pendekatan “Satu ASEAN, Satu Tindak Balas” (One ASEAN, One Response) yang genap 10 tahun tahun ini.

Pendekatan itu bertujuan memperkukuh penyelarasan serta pergerakan sumber dan bantuan merentasi sempadan apabila sesebuah negara anggota dilanda bencana besar.

Selain penempatan awal bekalan, negara anggota ASEAN turut memperkukuh keupayaan pengurusan bencana melalui latihan, perkongsian pengetahuan dan pertukaran pengalaman.

Cabreros berkata usaha berkenaan menterjemahkan semangat perpaduan ASEAN kepada tindakan praktikal, ketika rantau itu terus memperkukuh kerjasama, menjangka risiko dan menambah baik sistem amaran awal supaya pihak berkuasa dapat bertindak sebelum bencana berlaku.

AHA Centre ditubuhkan di bawah Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (AADMER) bagi memudah cara kerjasama dan penyelarasan antara negara anggota dalam pengurusan bencana serta tindak balas kecemasan.

Pusat itu bekerjasama dengan organisasi pengurusan bencana kebangsaan dan rakan serantau bagi menyokong kesiapsiagaan, tindak balas dan pemulihan bencana di rantau ASEAN. – BERNAMA-PNA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.