Banjir di Bihar, India jejas hampir lima juta penduduk

Foto AFP

PATNA, 5 September Banjir di Bihar, India timur menjejaskan hampir lima juta penduduk dengan bantuan dihantar ke kawasan yang paling teruk terjejas, menurut pihak berkuasa pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semua tujuh sungai utama negeri mencatat bacaan melebihi paras bahaya susulan hujan lebat.
  • Kerajaan negeri menyalurkan bantuan tunai 7,000 rupee kepada lebih 827,000 keluarga terjejas.
  • 13 pusat pemindahan dibuka; lebih 1,000 dapur komuniti dan hampir 1,800 bot digunakan, banjir menenggelamkan kawasan pertanian dan dilaporkan 20 kematian.

Menurut Jabatan Sumber Air Bihar, kesemua tujuh sungai utama di negeri itu mencatat bacaan melebihi paras bahaya pada Selasa susulan hujan lebat.

Sementara itu, Ketua Menteri Bihar, Samrat Choudhary berkata bantuan tunai sebanyak 7,000 rupee (kira-kira AS$72) setiap keluarga telah disalurkan kepada lebih 827,000 keluarga terjejas.

Dalam masa sama, bantuan makanan, air minuman bersih, ubat-ubatan dan keperluan asas lain juga turut disalurkan kepada mereka.

Kerajaan negeri memaklumkan sebanyak 13 pusat pemindahan telah dibuka, manakala lebih 1,000 dapur komuniti dan hampir 1,800 bot digunakan di kawasan dilanda banjir.

Banjir yang bermula bulan ini turut menenggelamkan kawasan pertanian yang luas, manakala media tempatan melaporkan 20 kematian.

Bihar yang terletak di hilir Nepal turut menerima kesan limpahan air dari negara itu yang dilanda banjir kilat bulan lalu.

Perdana Menteri India, Narendra Modi mengarahkan pasukan kerajaan persekutuan ke Bihar bagi menjalankan penilaian terperinci terhadap kerosakan akibat banjir. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.