Pembangunan klinik pedalaman perlu ambil kira keperluan rakyat

Datuk Hanifah Hajar Taib

LIMBANG, 15 September – Pembangunan klinik di kawasan pedalaman bukan sekadar melibatkan pembinaan premis, sebaliknya perlu mengambil kira kesesuaian tapak, kemudahan asas serta keperluan perkhidmatan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Memahami kekangan akses penduduk pedalaman, contohnya mereka perlu menggunakan bot atau berjalan kaki untuk mendapatkan rawatan.
  • Penilaian aspek perkhidmatan penting bagi memastikan kemudahan kesihatan memenuhi keperluan dan memudahkan penduduk mendapatkan rawatan.
  • Lawatan ke tapak cadangan Kompleks Kesihatan Bersepadu Bandar Baharu Limbang untuk menilai keperluan fasiliti dan perkhidmatan.
  • Kompleks dicadangkan akan menawarkan pelbagai perkhidmatan klinikal termasuk kecemasan, ibu dan anak, pergigian, fisioterapi, makmal, radiologi, dan farmasi.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, penilaian aspek berkenaan penting bagi memastikan kemudahan kesihatan yang disediakan dapat memenuhi keperluan perkhidmatan, selain memudahkan penduduk mendapatkan rawatan.

“Sebagai contoh, di Klinik Medamit, kita perlu menilai kesesuaian bukan sahaja dari segi pelaksanaan dan keperluan perkhidmatan, tetapi juga akses penduduk dari kawasan sekitar yang perlu menggunakan bot atau berjalan kaki untuk mendapatkan rawatan.

“Jadi, kita perlu memahami kekangan yang dihadapi penduduk, khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Klinik Nanga Medamit, hari ini yang merupakan sebahagian daripada program Jelajah Kesihatan Borneo Negeri Sarawak Siri 4.

“Yang paling penting, kita mahu memastikan perkhidmatan kepada rakyat dapat diberikan dengan baik, manakala kemudahan yang disediakan benar-benar memenuhi keperluan mereka,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau turut mengadakan lawatan ke tapak cadangan Projek Pembangunan Kompleks Kesihatan Bersepadu di Bandar Baharu Limbang.

Cadangan pembinaan kompleks itu merangkumi Klinik Kesihatan Jenis Tiga yang menyediakan pelbagai perkhidmatan, termasuk rawatan pesakit luar, kecemasan, kesihatan ibu dan anak, pergigian, fisioterapi, terapi cara kerja, makmal, radiologi dan farmasi.

Kompleks berkenaan turut menempatkan Pejabat Kesihatan Bahagian, Pejabat Kesihatan Pergigian Bahagian serta Pejabat Farmasi Bahagian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.