
KUALA LUMPUR, 15 September – Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengambil langkah proaktif bagi menangani pelbagai isu logistik yang dihadapi kontinjen negara menjelang temasya Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.
- Kekurangan bilik penginapan menjejaskan kontinjen; sekretariat MSN bayar kos bilik tambahan bagi lima atlet untuk menempatkan mereka.
- Skuad memanah belum terima pengesahan penginapan; MSN tempah 11 bilik dan sedia tanggung kos serta pengangkutan jika penganjur gagal.
- Isu pengangkutan timbul selepas atlet menunggu sehingga 40 minit; MSN kenal pasti pembekal pengangkutan alternatif boleh ditempah bila-bila masa.
- Jaminan makanan halal disahkan; ready-to-eat diagihkan sebagai langkah berjaga-jaga; atlet dibekalkan baju hujan dan dikehendaki patuhi SOP keselamatan.
MSN memaklumkan tindakan itu diambil susulan masalah kekurangan bilik penginapan yang turut menjejaskan beberapa kontinjen lain, selain memastikan fokus dan persiapan atlet negara tidak terganggu sebaik tiba di venue temasya.
“Isu berkenaan sebelum ini menjejaskan persediaan skuad karate negara yang dijadual tiba di Nagoya pada Khamis.
“Bagaimanapun, masalah itu berjaya diselesaikan selepas sekretariat MSN membayar kos bilik tambahan di hotel penginapan rasmi bagi menempatkan lima atlet yang ketiadaan bilik.
“Bagi skuad memanah yang melibatkan 16 atlet dan pegawai yang masih belum menerima pengesahan penginapan daripada pihak penganjur, MSN bertindak menyediakan pelan luar jangka dengan menempah 11 bilik di hotel berasingan.
“MSN bersedia menanggung kos penginapan dan pengangkutan ke venue pertandingan sekiranya penganjur masih gagal mengesahkan status penginapan skuad memanah menjelang ketibaan mereka pada 24 September ini,” menurut kenyataan itu hari ini.
Setakat ini, atlet dan pegawai bagi sukan bola keranjang wanita, kriket wanita, ekuestrian serta pasukan hoki lelaki dan wanita dilaporkan telah selamat tiba dan ditempatkan di penginapan yang disediakan oleh pihak penganjur di sekitar Aichi, Nagoya dan Tokyo.
Selain isu penginapan, MSN turut menjangkakan cabaran daripada segi pengangkutan ke venue pertandingan selepas perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat ketua-ketua kontinjen semalam, susulan insiden atlet terpaksa menunggu sehingga 40 minit.
Sebagai penyelesaian, MSN telah mengenal pasti pembekal perkhidmatan pengangkutan alternatif yang boleh ditempah pada bila-bila masa untuk kegunaan kontinjen Malaysia.
Daripada aspek kebajikan dan pemakanan, MSN telah mendapatkan jaminan penganjur bahawa semua hidangan sajian di perkampungan sukan dan hotel rasmi disahkan halal.
Namun, bekalan makanan sedia dimakan (ready-to-eat) tetap diagihkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan risiko keracunan makanan jika atlet mengambil makanan dari luar.
Menyedari keadaan cuaca tidak menentu di Aichi dan Nagoya yang kini berdepan hujan lebat, setiap atlet negara turut dibekalkan dengan baju hujan, selain diwajibkan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Keselamatan Bencana Alam serta SOP Keselamatan yang disediakan kontinjen.
Sehubungan itu, MSN mengingatkan semua atlet agar sentiasa berhubung dan memaklumkan sebarang masalah kepada pengurusan pasukan dengan kadar segera bagi membolehkan tindakan penyelesaian diambil tanpa menjejaskan misi memburu kejayaan buat negara.