
KUALA LUMPUR, 15 September – Seramai 2,000 penjaga warga emas disasar dilatih tahun ini bertujuan memperkukuh ekosistem penjagaan menghadapi status Malaysia sebagai negara menua.
- Penjaga terlatih dan profesional diperlukan untuk mengurus keperluan kanak-kanak, warga emas dan golongan memerlukan dengan lebih baik.
- Memperkukuh ekonomi penjagaan membantu wanita kembali ke alam pekerjaan yang pernah ditinggalkan kerana tanggungjawab penjagaan.
- Rang Undang-Undang Profesion Kerja Sosial 2026 diluluskan tetapi memerlukan peraturan dan mekanisme kawal selia susulan.
- Sidang kemuncak MSLS mengumpulkan pembuat dasar dan pemimpin untuk memperkukuh kerjasama mempercepat pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri yakin sasaran berkenaan dijangka dicapai menjelang November ini.
“Penyediaan tenaga penjaga yang terlatih dan profesional penting bagi memastikan keperluan penjagaan kanak-kanak, warga emas serta golongan memerlukan dapat diurus dengan lebih baik.
“Usaha memperkukuh ekonomi penjagaan turut membantu golongan wanita kembali ke alam pekerjaan khususnya mereka yang sebelum ini terpaksa meninggalkan pekerjaan kerana tanggungjawab menjaga keluarga.
“Kementerian juga sedia membantu dalam memastikan masyarakat terlatih dan mempunyai pengetahuan supaya mereka berupaya membantu dari segi pembangunan negara,”katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyatakan Rang Undang-Undang Profesion Kerja Sosial 2026 yang telah diluluskan masih memerlukan beberapa tindakan susulan sebelum dapat dilaksana sepenuhnya.
“Perkara itu termasuk penyediaan peraturan dan mekanisme kawal selia bagi memastikan pelaksanaan undang-undang berkenaan dapat berjalan dengan berkesan,”katanya selepas menghadiri Sidang Kemuncak Kepimpinan Kelestarian Malaysia (MSLS) ke- 5.
Persidangan menghimpunkan lebih 100 pembuat dasar, pegawai kerajaan, pemimpin perniagaan serta pemimpin komuniti bagi memperkukuh kerjasama dan mempercepat usaha Malaysia mencapai Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG).
Bertemakan “Memacu Pembangunan Mampan Melalui Perkongsian Transformatif Dan Kerjasama”, sidang kemuncak itu turut membincangkan kemajuan Malaysia dalam agenda SDG serta peluang memperluas kerjasama antara pelbagai pihak.