
KUALA LUMPUR, 15 September – Persidangan dan Pameran Jalan Malaysia Ke-13 2026 akan berlangsung pada 13 hingga 15 Oktober ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, dengan memberi tumpuan kepada usaha memperbaharui dan memperkukuh industri jalan raya negara.
- Fokus transformasi jalan raya: lebih berdaya tahan, lestari dan pintar, keputusan berpacukan data serta penggunaan teknologi dan inovasi.
- Acara menampilkan hampir 1,000 peserta, 111 reruai pameran dan 120 kertas teknikal oleh pakar tempatan serta antarabangsa.
- Program termasuk ucaptama, Anugerah Kecemerlangan Kejuruteraan, pembangunan jurutera muda, program profesional berkaitan kecerdasan buatan dan pertandingan inovasi.
Bertemakan “Mentransformasi Negara Menerusi Jalan Raya untuk Masa Hadapan”, persidangan itu menekankan pembangunan jalan raya yang lebih berdaya tahan, lestari dan pintar bagi menghadapi cabaran masa hadapan.
Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, Ir. Mohd Shahrom Ahmad Saman berkata, pembangunan jalan raya perlu mengambil kira penggunaan teknologi dan inovasi, selain mengutamakan pendekatan berasaskan data dalam membuat keputusan.
“Jalan yang kita bina perlulah membantu kita mendepani cabaran dan isu pada masa akan datang. Ia perlu lebih berdaya tahan, lebih lestari dan lebih pintar, selain keputusan yang dibuat perlu berpacukan data,” katanya.

Persidangan itu dijangka menghimpunkan hampir 1,000 peserta, selain menampilkan 111 reruai pameran dan 120 kertas teknikal yang akan dibentangkan pakar tempatan serta antarabangsa.
Antara pengisian utama ialah sesi ucaptama, Anugerah Kecemerlangan Kejuruteraan, program pembangunan jurutera muda serta program profesional berkaitan kecerdasan buatan.
Persidangan itu turut menampilkan pertandingan ciptaan dan inovasi kejuruteraan bagi mengetengahkan idea serta penyelesaian baharu dalam pembangunan industri jalan raya.
Majlis prapelancaran Persidangan dan Pameran Jalan Malaysia Ke-13 disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan pada 13 Ogos lalu di ibu negara.