
KULIM, 15 September – Seorang wanita berusia 39 tahun maut selepas ditikam sebanyak 13 kali oleh suaminya di sebuah rumah di Taman Tiram, di sini, malam tadi.
- Suami menyerah diri di Balai Polis Lunas.
- Suspek menyerahkan sebilah pisau lipat dipercayai digunakan.
- Kejadian berlaku di bilik tidur utama rumah teres, anak mereka berumur tiga tahun berada di rumah.
- Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat; kes disiasat mengikut Seksyen 302.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, mangsa dibawa ke Hospital Kulim oleh ahli keluarganya sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9.30 malam.
Suspek berusia 43 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan kemudian hadir di Balai Polis Lunas dan memaklumkan bahawa dia telah menikam isterinya di rumah mereka.
“Suspek turut menyerahkan sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya.
Kejadian berlaku di dalam bilik tidur utama sebuah rumah teres setingkat yang didiami pasangan berkenaan bersama anak mereka yang berusia tiga tahun.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pertengkaran antara suspek dengan mangsa disebabkan cemburu.
“Suspek mengaku menikam mangsa sebanyak 13 kali, iaitu tujuh tikaman pada bahagian dada, lima pada perut dan satu pada rusuk kanan menggunakan pisau lipat,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.