
KUALA LUMPUR, 14 September – Malaysia dipilih secara sebulat suara sebagai tuan rumah Mesyuarat Agung ke-16 Persatuan Sukan Solidariti Islam (ISSA) pada 2027.
- ISSA menunjukkan keyakinan terhadap kestabilan dan keupayaan Malaysia menganjurkan acara besar.
- OCM akan bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan penganjuran Mesyuarat Agung berjalan dengan jayanya.
- Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria dilantik sebagai anggota Lembaga Eksekutif ISSA bagi penggal 2026 hingga 2029.
- OCM dan Kerajaan Sarawak membentang laporan kesiapsiagaan Sukan Solidariti Islam 2029 dan memeterai MoU tiga pihak bersama ISSA.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Agung ISSA ke-15 di InterContinental Taif, Arab Saudi, Sabtu lalu, yang dihadiri 53 daripada 57 wakil Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) yang bernaung di bawah ISSA.
Dalam satu kenyataan, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata, pemilihan itu mencerminkan keyakinan ISSA terhadap kestabilan dan keupayaan Malaysia menganjurkan acara utama persatuan berkenaan.
“Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah Mesyuarat Agung ISSA ke-16 pada 2027 mencerminkan keyakinan ISSA terhadap kestabilan dan keupayaan Malaysia untuk menganjurkan acara besar ISSA.
“OCM akan bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan penganjuran Mesyuarat Agung ISSA yang pertama diadakan di Malaysia berjalan dengan jayanya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Norza turut dilantik sebagai anggota Lembaga Eksekutif ISSA bagi penggal 2026 hingga 2029, dengan tanggungjawab sebagai wakil Jawatankuasa Penganjuran Sukan Malaysia 2029.
Pada mesyuarat itu, OCM bersama Kerajaan Sarawak turut membentangkan laporan perkembangan persiapan dan kesiapsiagaan bagi penganjuran Sukan Solidariti Islam ke-7 pada 2029.
Pembentangan itu disampaikan bersama oleh Mohamad Norza, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Pembangunan Belia, Sukan serta Pembangunan Keusahawanan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Hii Chang Kee.
Turut dimeterai memorandum persefahaman (MoU) antara ISSA, OCM dan Kerajaan Sarawak bagi mewujudkan kerjasama tiga pihak serta menjadi asas persiapan Sukan Solidariti Islam 2029, tertakluk kepada pengesahan rasmi penganjuran oleh Kerajaan Sarawak.