
KUALA LUMPUR, 12 September – Persiapan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 kini mencapai 95 peratus, dengan hanya beberapa urusan koordinasi akhir di Selangor perlu diselesaikan sebelum perlumbaan berbasikal berprestij itu membuka tirai dari 27 September hingga 4 Oktober depan.
- Logistik, penyelarasan laluan negeri dan persiapan siaran langsung televisyen antarabangsa hampir selesai.
- Gunung Jerai dijangka tarikan utama, dilengkapkan laluan 'mini Genting Highlands' dan kawasan khas untuk peminat sukan berbasikal.
- Kerjasama erat dengan PDRM untuk kawalan keselamatan di Genting Highlands; 20 pasukan dari pelbagai kategori bersaing untuk jersi termasuk Raja Bukit.
Ketua Pegawai Operasi LTdL26 Emir Abdul Jalal berkata hampir keseluruhan aspek logistik, penyelarasan laluan di peringkat negeri dan daerah serta persiapan siaran langsung televisyen antarabangsa telah diselesaikan.
Beliau berkata urusan yang masih berbaki hanya membabitkan koordinasi akhir di beberapa kawasan di Selangor, yang tidak dijangka menimbulkan sebarang masalah besar.
“Persiapan di peringkat negeri, daerah dan agensi yang terlibat hampir selesai sepenuhnya.
“Kita cuma tinggal menyelesaikan mesyuarat di Selangor membabitkan daerah Ampang dan Shah Alam, namun lokasinya dekat dan tiada masalah besar dijangkakan.
“Dari segi senarai pasukan bertanding dan persiapan siaran langsung televisyen semuanya sudah jelas. Boleh dikatakan 90 hingga 95 peratus persiapan sudah pun beres,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman penajaan jersi Raja Bukit LTdL, di sini.
Dalam pada itu, Gunung Jerai dijangka menjadi antara tarikan utama LTdL kali ini apabila laluan pendakiannya dirancang sebagai ‘mini Genting Highlands’, dengan kawasan khas disediakan bagi menghimpunkan peminat sukan berbasikal.
Jelasnya, pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri Kedah menerusi daerah Yan giat membuat persiapan di sepanjang laluan pendakian berkenaan bagi mewujudkan suasana perlumbaan yang lebih meriah.
“Pihak di Yan mahu memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin. Mereka telah mewujudkan kawasan khas sepanjang laluan pendakian untuk dipenuhi peminat sukan berbasikal, bermula dari kaki bukit di pekan Yan hinggalah ke garisan penamat di puncak,” jelasnya.
Menyentuh aspek kawalan keselamatan di laluan kemuncak Genting Highlands, beliau menegaskan kerjasama erat telah dijalin bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kawalan penonton berada pada tahap terbaik.
Edisi kali ini menyaksikan penyertaan 20 pasukan berstatus Pasukan Dunia, ProTeam, Continental dan tempatan yang bakal berentap merebut jersi berprestij termasuk jersi Raja Bukit.