Gunakan AI dengan bijak, semak semula kesahihan fakta

Sidang media majlis perasmian Pameran Sambutan Hari Malaysia di Plaza Merdeka, Kuching/ Japen

KUCHING, 14 September  Semua pengguna aplikasi kecerdasan buatan (AI) perlu menggunakan platform berkenaan secara bijak dan tidak menerima bulat-bulat maklumat yang dihasilkan teknologi berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semua maklumat daripada AI mesti disemak dan disahkan terlebih dahulu untuk memastikan kesahihan.
  • Pengusaha aplikasi AI utama berbincang mewujudkan kerangka kawal selia bagi mengelakkan kandungan tidak wajar dan halusinasi.
  • Kementerian akan ambil tindakan terhadap aduan bersama PDRM dan MCMC; perbincangan global fokus ketepatan, keselamatan, pematuhan undang-undang.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, setiap maklumat yang diperoleh menerusi dapatan AI perlu disemak dan disahkan terlebih dahulu bagi memastikan kesahihannya.

“Dalam tempoh beberapa hari ini, terdapat perbincangan dalam kalangan pengusaha aplikasi AI utama seperti Anthropic, OpenAI dan sebagainya untuk mewujudkan lebih banyak kerangka kawal selia.

“Langkah ini penting bagi mengelakkan AI menghasilkan kandungan yang tidak wajar atau mengalami halusinasi, selain memastikan teknologi berkenaan tidak berkembang sehingga menjadi ancaman kepada manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media majlis perasmian Pameran Sambutan Hari Malaysia di Plaza Merdeka di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau menegaskan pihak kementerian akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap aduan yang disalurkan kepada pihak berkuasa berkaitan, termasuk Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Pada masa sama, perbincangan di peringkat global terus diperkasa bagi meneliti pelbagai cabaran dan isu yang mungkin timbul susulan perkembangan teknologi AI, termasuk aspek ketepatan maklumat, keselamatan dan pematuhan undang-undang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.