
KUANTAN, 14 September – Jabatan Perikanan Pahang masih menyiasat dakwaan penemuan ikan dipercayai piranha perut merah di Empangan Klau, Raub.
- Anggota jabatan dihantar ke lokasi untuk mengenal pasti spesies ikan yang didakwa ditangkap pemancing.
- Pengesahan spesies diperlukan sebelum tindakan lanjut; orang ramai dinasihat tidak membuat spekulasi.
- Jika disahkan piranha perut merah, jabatan akan nilaikan potensi kesan terhadap ekosistem dan spesies ikan tempatan.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Roslan Abu Hasan berkata, pihaknya telah menggerakkan anggota ke lokasi bagi mengenal pasti spesies ikan yang didakwa ditangkap seorang pemancing tempatan sebelum tular di media sosial.
Beliau berkata, pengesahan spesies perlu dibuat terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut diambil, selain menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung dakwaan berkenaan.
Sekiranya disahkan sebagai piranha perut merah atau pygocentrus nattereri, Jabatan Perikanan akan menilai potensi kesannya terhadap ekosistem dan spesies ikan tempatan.
Piranha dan pacu merupakan antara spesies ikan larangan di Malaysia, dengan pemilikan, pengimportan dan penjualannya tertakluk kepada kebenaran pihak berkuasa.
Sebelum ini, tular satu hantaran di laman sosial yang mendakwa seorang pemancing tempatan menemui spesimen ikan pemangsa yang biasanya ditemui di Lembangan Sungai Amazon, Amerika Selatan di kawasan empangan tersebut.