BRICS: PM adakan pertemuan tidak rasmi dengan beberapa pemimpin dunia

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

NEW DELHI, 13 September – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil peluang mengadakan perbincangan tidak rasmi bersama beberapa pemimpin dunia pada majlis makan malam sempena Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anwar bertemu Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi; bincang hubungan dua hala dan lawatan rasmi El-Sisi ke Malaysia bulan depan.
  • Anwar bertemu Presiden Indonesia Prabowo Subianto; menjemput beliau ke Malaysia untuk memuktamadkan isu dua hala tertangguh.
  • Perbincangan turut melibatkan Presiden Kazakhstan, Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan, Setiausaha Agung PBB dan Ketua Pengarah WTO.
  • Fokus perbincangan pada konflik Gaza, ketegangan Asia Barat dan kebakaran hutan; seru kesatuan antarabangsa untuk hentikan pertumpahan darah.

Antaranya ialah Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto.

Selain itu, Datuk Seri Anwar turut bertemu Presiden Kazakhstan, Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa (PBB) serta Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)

Menurut satu hantaran di media sosial, beliau berkata, perbincangan tertumpu kepada perkembangan geopolitik dunia khususnya konflik dan krisis kemanusiaan yang berlarutan di Gaza serta ketegangan di Asia Barat.

“Keadaan tersebut menuntut kesatuan tekad masyarakat antarabangsa, terutama dalam kalangan pemimpin dunia, bagi menghentikan pertumpahan darah dan mengusahakan penyelesaian yang adil serta berkekalan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar berkata beberapa perkara berkaitan hubungan dua hala Malaysia-Mesir akan dibincangkan dengan lebih mendalam ketika lawatan rasmi Presiden El-Sisi ke Malaysia pada bulan depan.

Sementara itu dalam pertemuan bersama Prabowo, Datuk Seri Anwar turut memperbaharui jemputan kepada Presiden Indonesia itu untuk berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat.

“Lawatan berkenaan penting bagi membincangkan dan memuktamadkan beberapa perkara berkaitan hubungan dua hala yang masih tertangguh.

“Turut disentuh isu kebakaran hutan serta perkembangan konflik di Asia Barat yang memerlukan kesepakatan dan tindakan bersama,” menurut hantaran itu lagi.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar turut meluangkan masa bersarapan bersama Ketua Pembangkang Parlimen India, Rahul Gandhi, dalam satu pertemuan ringkas pagi tadi.

Datuk Seri Anwar menyifatkan Rahul sebagai sahabat baiknya.

“Pertemuan singkat ini memberi ruang kepada kami bertukar pandangan mengenai perkembangan mutakhir di peringkat antarabangsa dan serantau,” ujarnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.