
KOTA BHARU, 13 September – Jenazah pegawai perubatan, Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper, Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada pukul 2.30 petang tadi.
- Solat jenazah di Masjid Al Karomah, imam Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad selepas solat Zuhur.
- Hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, pimpinan kerajaan negeri, keluarga dan sahabat.
- Suami Mohd Faiz bersyukur urusan dipermudahkan dan berterima kasih atas doa serta sokongan rakyat Malaysia.
- Bapa Kamarudin Salleh mengucapkan terima kasih kepada pasukan pencarian, pengurusan jenazah dan mereka yang mendoakan melalui FB.
Urusan pengebumian disempurnakan selepas solat jenazah di Masjid Al Karomah Mukim Baung Besar, Pengkalan Chepa, yang diimamkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sejurus selepas solat Zuhur.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, pimpinan kerajaan negeri, ahli keluarga serta sahabat Allahyarham.
Suami Allahyarham, Mohd Faiz Ab Malek berkata beliau bersyukur kerana segala urusan dipermudahkan.
“Takdir sudah berlaku, tetapi alhamdulillah, segala urusan dan perjalanan dipermudahkan. Saya mendapat sokongan dan doa daripada semua rakan, sama ada yang mengenali saya mahupun yang tidak mengenali saya.
“Ini juga satu rezeki buat arwah isteri saya kerana mendapat doa dan sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia. Jadi, sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua,” katanya di sini.
Bapa Allahyarham, Kamarudin Salleh pula merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam proses mencari dan menyelamat, pengurusan jenazah serta penghantaran pulang jenazah Dr Ainul Baraah.
“Terima kasih sekali lagi kepada semua pihak, sama ada yang terlibat secara langsung mahupun yang mendoakan dan mengingati arwah melalui Facebook (FB) dan sebagainya,” katanya.