
KUCHING, 13 September – Dua anak mendiang jururawat, Debra Moset, 40, akan terus diberi perhatian susulan pemergian ibu mereka dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Selasa lalu.
- Bantuan keluarga bukan sekadar kewangan; turut mengambil kira keperluan pendidikan anak-anak.
- Kaunseling disediakan sekiranya diperlukan bagi membantu keluarga melalui tempoh kehilangan.
- Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil, menziarahi keluarga di Kampung Semadang, Padawan.
- Anak-anak berusia 15 dan 12 tahun masih bersekolah di Miri; jenazah akan dikebumikan di St Patrick esok.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil berkata, bantuan kepada keluarga bukan sekadar dalam bentuk kewangan, malah turut mengambil kira keperluan anak-anak supaya mereka dapat meneruskan persekolahan.
“Keluarga mendiang juga akan dibantu dari segi kaunseling sekiranya diperlukan bagi membantu keluarga melalui tempoh kehilangan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga mendiang di Kampung Semadang, Padawan, hari ini.
Menurutnya, dua anak mendiang, seorang perempuan dan seorang lelaki masing-masing berusia 15 dan 12 tahun masih bersekolah di Miri.
Jasad Mendiang Debra akan disemadikan di Tanah Perkuburan St Patrick, Kampung Semadang, esok.
Mendiang merupakan antara lima mangsa yang maut dalam nahas helikopter FDS berhampiran Lapangan Terbang Short Take-Off and Landing (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, pada Selasa lepas.