
KUALA LUMPUR, 12 September – Presiden Rusia Vladimir Putin menyampaikan salam kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ketika mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.
- Putin menghargai hubungan Malaysia-Rusia sebagai bertahap tinggi dan benar-benar bersifat mesra.
- Anwar menyampaikan salam Sultan Ibrahim dan mengulangi undangan lawatan negara kepada Presiden Putin.
- Sultan Ibrahim, menaiki takhta 31 Jan 2024, telah mengadakan tiga lawatan ke Rusia termasuk lawatan negara dan hadir Hari Kemenangan.
- Putin menyentuh ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik, memperluas kerjasama pendidikan, sains, teknologi, pelancongan serta peningkatan perdagangan 12.9%.
“Kami (Putin dan Sultan Ibrahim) berbesar hati dapat bertemu di Moscow pada Mei lepas sempena sambutan ulang tahun ke-81 Hari Kemenangan.
“Kami amat menghargai hubungan antara Rusia dan Malaysia yang berada pada tahap tinggi dan benar-benar bersifat mesra,” kata Putin ketika pertemuan di luar Sidang Kemuncak BRICS ke-18 di New Delhi, India, menurut transkrip di laman sesawang Kremlin.
Terdahulu, Bernama melaporkan Anwar menyampaikan salam hormat Sultan Ibrahim kepada Presiden Rusia itu dan mengulangi undangan Yang di-Pertuan Agong kepada Putin untuk melakukan lawatan negara ke Malaysia.
Sultan Ibrahim, yang menaiki takhta Persekutuan pada 31 Jan 2024, telah melawat Rusia sebanyak tiga kali.
Baginda melakukan lawatan negara ke Rusia pada Ogos 2025, diikuti lawatan khas pada Januari 2026 dan lawatan ke Moscow pada Mei bagi menghadiri sambutan Hari Kemenangan Rusia.
Sementara itu, Putin dalam pertemuannya dengan Anwar turut menyentuh ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada tahun depan, sambil berharap kedua-dua negara dapat mencapai detik penting itu “dengan pengalaman kerjasama positif yang luas serta asas kukuh untuk terus memperluas hubungan berkenaan.”
“Hubungan antara kedua-dua negara berkembang secara dinamik menerusi majlis keselamatan, parlimen, kementerian luar dan agensi berkaitan lain.
“Baru-baru ini, pada Ogos, Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya Kelima diadakan di Vladivostok,” katanya sambil menambah bahawa Rusia amat mementingkan kerjasama kedua-dua negara dalam bidang pendidikan, sains, teknologi dan pelancongan.
Putin berkata perdagangan antara kedua-dua negara meningkat 12.9 peratus tahun lepas, sambil menyifatkannya sebagai “angka yang amat menggalakkan”.- BERNAMA