BN terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 September – Barisan Nasional (BN) terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal, selaras dengan resolusi yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendirian BN kekal meskipun wujud perbezaan pandangan dalam Jemaah Menteri dan kepimpinan parti.
  • Resolusi parti mesti dihormati dan menjadi panduan tindakan anggota BN dalam kerajaan.
  • Perbezaan pendapat perkara biasa; anggota Jemaah Menteri dan kepimpinan diharap bersikap profesional serta saling menghormati.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian itu kekal meskipun terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan anggota Jemaah Menteri dan kepimpinan parti.

“Pendirian kita tidak menyanggah mana-mana susuk tubuh, terutamanya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

“Resolusi yang dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO harus dihormati bahawa kita terus bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan Malaysia yang ada ini hingga akhirnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas ucapan penggulungan PAU 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, tempoh sebenar Kerajaan Perpaduan berakhir tidak dapat dipastikan ketika ini, namun BN akan terus memainkan peranannya dalam kerajaan sepanjang tempoh berkenaan.

Tambah beliau, perbezaan pendapat merupakan perkara biasa dalam pentadbiran dan perlu dihormati oleh semua pihak.

“Selama kami berada di dalamnya, memang ada perbezaan pendapat tetapi kita adalah anggota Jemaah Menteri dan kepimpinan parti yang profesional.

“Kita mengambil pendirian bahawa perbezaan pendapat itu harus dihormati, begitu juga kami menghormati perbezaan pendapat yang dilontarkan oleh mereka,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.