Nahas helikopter: Polis teliti keterangan 19 saksi

Foto RTM

LAWAS, 12 September Seramai 19 saksi telah dipanggil polis bagi membantu siasatan nahas helikopter di Long Lellang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis meneliti keterangan saksi bagi membantu mengenal pasti punca nahas.
  • Biro Siasatan Kemalangan Udara menjalankan siasatan; laporan awal dijangka dikeluarkan dalam 30 hari.
  • Penghargaan kepada Jabatan Kimia Sarawak dan Jabatan Kimia Malaysia atas percepat analisa DNA, membolehkan penyerahan jenazah kepada waris.
  • Helikopter BO-105 yang membawa lima individu terhempas berhampiran STOLport; semua mangsa disahkan terkorban.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, keterangan daripada saksi berkenaan kini diteliti bagi membantu polis mengenal pasti punca nahas.

Jelasnya, siasatan turut dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).

“Sebelum ini juga dimaklumkan, BSKU telah memulakan siasatan dan mereka menyatakan akan mengeluarkan laporan awal selewat-lewatnya dalam tempoh 30 hari selepas nahas berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Kimia Sarawak dan Jabatan Kimia Malaysia atas kerjasama mempercepat proses analisa DNA ke atas kesemua lima mangsa.

“Semua sampel telah diterima kira-kira pukul 6 pagi tadi sekali gus membolehkan proses penyerahan jenazah kepada waris,” beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Dialog Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak di sini.

Selasa lalu, helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang, terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport).

Mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.