Belanjawan 2027: Perbelanjaan kerajaan dijangka cecah rekod RM440.9 bilion

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 September – Belanjawan 2027 berpotensi menjadi belanjawan terbesar negara dengan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan diunjur mencecah RM440.9 bilion berbanding RM421.2 bilion dalam Belanjawan 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Belanjawan 2027 dijangka tingkat perbelanjaan terkawal untuk sokong pertumbuhan ekonomi dan perkuat kedudukan fiskal jangka sederhana.
  • Peruntukan lebih besar mencerminkan kenaikan perbelanjaan mengurus, bantuan sosial berterusan serta perbelanjaan pembangunan yang dipertingkatkan.
  • Hasil dijangka meningkat disokong kutipan cukai lebih baik, pelaksanaan e-Invois dan peluasan SST untuk perkukuh pematuhan serta kurangkan ketirisan.
  • Keutamaan termasuk menggalak pelaburan domestik, perancangan projek berbilang tahun, insentif berasaskan hasil dan pembiayaan ekosistem semikonduktor.

Menurut MBSB Investment Bank Bhd, peningkatan perbelanjaan itu dijangka kekal terkawal bagi mengimbangi keperluan menyokong pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh kedudukan fiskal dalam jangka sederhana.

“Peruntukan yang lebih besar itu dijangka mencerminkan peningkatan perbelanjaan mengurus, kesinambungan bantuan sosial dan sokongan kos sara hidup, selain perbelanjaan pembangunan yang lebih tinggi,” katanya dalam nota penyelidikan.

Bank pelaburan itu turut menjangkakan hasil kerajaan terus meningkat pada 2027, disokong oleh peningkatan kutipan cukai langsung dan tidak langsung susulan pertumbuhan ekonomi yang berterusan, usaha meluaskan asas hasil serta penambahbaikan kutipan hasil fiskal.

“Pelaksanaan e-Invois yang lebih meluas dan pendigitalan pentadbiran cukai dijangka secara beransur-ansur memperkukuh pematuhan serta mengurangkan ketirisan, manakala peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dijangka terus menyokong kutipan cukai tidak langsung,” jelas MBSB.

Dalam pada itu, MBSB menjangkakan defisit fiskal negara mengecil kepada sekitar 3.3 hingga 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2027, berbanding kira-kira 3.7 peratus pada 2026.

“Ini menunjukkan konsolidasi fiskal masih diteruskan, walaupun pada kadar yang agak lebih perlahan berbanding laluan jangka sederhana asal Kerajaan,” jelas MBSB.

Mengulas mengenai keutamaan Belanjawan 2027, MBSB berpandangan ia tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah perbelanjaan fiskal semata-mata, sebaliknya turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekosistem pelaburan Malaysia dan menggerakkan modal domestik..

“Antara cadangan yang berpotensi dipertimbangkan ialah menerbitkan perancangan projek pelbagai tahun, menjadikan insentif pelaburan berasaskan hasil, memperkukuh elaun pelaburan semula, mewujudkan kerangka pelaburan grid nasional serta memperluas pembiayaan ekosistem semikonduktor,” katanya.

Selain itu, MBSB turut mencadangkan galakan terhadap pelaburan isi rumah jangka panjang, menghubungkan perumahan mampu milik dengan pengangkutan awam serta menyediakan pelan hala tuju penetapan harga karbon secara berperingkat.

Jelas MBSB, belanjawan yang berjaya bukan sekadar menyokong ekonomi jangka pendek, tetapi turut meningkatkan akses modal, memperkukuh keupayaan domestik serta mendorong produktiviti, pekerjaan berkualiti dan nilai ekonomi jangka panjang.

Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan pada 9 Oktober depan dan akan menjadi Belanjawan MADANI kelima serta belanjawan kedua bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.