Kadar pengangguran pada Julai 2026 kekal 3.0 peratus

 Foto hiasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 September – Kadar pengangguran pada Julai 2026 kekal 3.0 peratus seperti bulan sebelumnya dan mencatatkan sebanyak 520,300 penganggur

RINGKASAN BERITA AI
  • Bilangan tenaga buruh meningkat 0.1 peratus kepada 17.37 juta orang, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
  • Kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus; penduduk bekerja meningkat 0.1 peratus kepada 16.85 juta.
  • Sektor perkhidmatan terus utama penyumbang guna tenaga, didorong aktiviti kesenian, penginapan, makanan serta perkhidmatan kewangan dan insurans.
  • Penganggur aktif 79.3 peratus daripada jumlah penganggur, kebanyakan menganggur kurang tiga bulan; pengangguran melebihi setahun 5.4 peratus.

Menurut Statistik Tenaga Buruh bagi Julai 2026 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangan tenaga buruh meningkat 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 17.37 juta orang berbanding 17.34 juta orang pada Jun.

”Bagi tempoh sama, kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus.

”Bilangan penduduk bekerja turut meningkat marginal 0.1 peratus kepada 16.85 juta orang daripada 16.83 juta orang pada bulan sebelumnya, menurut DOSM dalam kenyataan hari ini.

Jelas DOSM, kategori pekerja yang merangkumi 74.9 peratus daripada jumlah penduduk bekerja menyaksikan peningkatan 0.1 peratus kepada 12.62 juta orang, manakala bilangan penduduk bekerja sendiri bertambah 0.3 peratus kepada 3.16 juta orang.

”Sektor perkhidmatan kekal penyumbang utama kepada guna tenaga pada Julai, antaranya didorong oleh aktiviti kesenian, hiburan dan rekreasi, penginapan serta perkhidmatan makanan dan minuman, selain aktiviti kewangan dan insurans atau takaful.

“Guna tenaga turut meningkat dalam semua sektor lain, iaitu pertanian, perlombongan dan pengkuarian, pembuatan serta pembinaan,” menurut DOSM.

Sementara itu, penganggur aktif yang bersedia untuk bekerja dan sedang aktif mencari pekerjaan merangkumi 79.3 peratus daripada jumlah penganggur, meningkat 0.4 peratus kepada 412,600 orang.

Dalam kalangan penganggur aktif, sebanyak 63.5 peratus menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala pengangguran jangka panjang melebihi setahun merangkumi 5.4 peratus.

Bagi golongan belia berumur 15 hingga 24 tahun, kadar pengangguran kekal pada 10.2 peratus dengan 292,500 orang penganggur, manakala kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 30 tahun meningkat kepada 6.4 peratus daripada 6.3 peratus pada Jun.

Secara keseluruhannya pasaran buruh Malaysia pada Julai 2026, kekal kukuh dan berdaya tahan dengan pertumbuhan guna tenaga yang berterusan serta kadar pengangguran yang rendah.

Namun, perubahan struktur ekonomi dan kemajuan teknologi menekankan kepentingan untuk terus memperkukuh pembangunan modal insan bagi memastikan tenaga kerja negara kekal kompetitif dan berupaya memenuhi keperluan pasaran buruh masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.