14 kanak-kanak maut dalam kebakaran sekolah di Congo

Foto AFP

BUKAVU, 11 September — Sekurang-kurangnya 14 kanak-kanak maut manakala puluhan lagi cedera dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah sekolah di Bukavu, timur Republik Demokratik Congo (DRC), pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebakaran berlaku semasa sesi pembelajaran, memaksa pelajar terjun dari tingkat atas dan melarikan diri melalui pintu.
  • Sekolah papan kayu musnah, mencetuskan rempuhan di pintu keluar sehingga ramai terjejas dan ada yang pengsan.
  • Klinik berhampiran menerima ramai mangsa dalam keadaan kritikal; beberapa pesakit dipindahkan ke hospital lain.
  • Kumpulan bersenjata M23 mengumumkan angka korban berbeza yang AFP tidak dapat sahkan, manakala Bukavu sering terdedah kepada kebakaran.

Kebakaran berlaku ketika murid sedang mengikuti sesi pembelajaran, menyebabkan sebahagian daripada mereka cuba menyelamatkan diri dengan terjun dari tingkat atas bangunan, manakala yang lain melarikan diri melalui pintu.

Guru Sekolah Rendah Ujamaa, Simon Kasamira, berkata beliau tiba-tiba terdengar jeritan murid sebelum melihat sebahagian daripada mereka terjun dari tingkat atas dalam usaha melarikan diri.

“Di tengah-tengah kelas, saya tiba-tiba terdengar pelajar menjerit, ada yang terjun dari tingkat atas dan yang lain melarikan diri melalui pintu,” katanya kepada AFP ketika menerima rawatan di sebuah klinik.

Beliau berkata ibu bapa kemudian datang untuk mencari anak masing-masing sebelum beliau melihat api besar marak dan memusnahkan sekolah yang dibina daripada papan kayu itu.

Pemimpin tempatan, Patrice Buduge berkata kebakaran bermula berhampiran sebuah sekolah di daerah Bagira, di pinggir utara Bukavu, ketika murid sedang mengikuti pembelajaran.

Beliau berkata keadaan itu kemudian mencetuskan rempuhan apabila pelajar bertindih dan memijak antara satu sama lain ketika cuba melarikan diri, menyebabkan sebahagian daripada mereka pengsan.

Jururawat di sebuah klinik berhampiran, Christophe Zigashane, berkata kira-kira 50 pelajar termasuk beberapa guru dibawa ke klinik dalam keadaan kritikal akibat sesak nafas.

“Daripada jumlah itu, 10 meninggal dunia dan empat lagi meninggal dunia di tempat kejadian, menjadikan jumlah keseluruhan 14 kematian, semuanya berusia bawah 10 tahun,” katanya.

Zigashane berkata 27 mangsa termasuk dua guru kemudian dipindahkan ke beberapa hospital lain di bandar itu dalam keadaan kritikal.

Sementara itu, kumpulan bersenjata M23 yang menguasai Bukavu dalam satu kenyataan memaklumkan 24 orang maut, terdiri daripada 19 kanak-kanak perempuan dan lima kanak-kanak lelaki, manakala 29 lagi menerima rawatan di kemudahan kesihatan.

Bagaimanapun, AFP tidak dapat mengesahkan angka korban yang diumumkan M23 itu secara bebas dengan sumber rasmi lain.

Kebakaran turut memusnahkan kawasan padat di lereng bukit, dengan penduduk dilihat menyelongkar runtuhan rumah yang hangus serta kepingan logam yang berselerak.

Bukavu, ibu kota wilayah Kivu Selatan, berada di bawah kawalan M23 yang disokong Rwanda sejak Februari 2025 selepas kumpulan itu memperhebat kempen untuk menguasai kawasan luas di timur DRC yang kaya dengan sumber mineral.

Bandar di tebing Tasik Kivu itu terkenal dengan rumah kayu yang dibina di lereng bukit dan sering berdepan kebakaran yang mengorbankan nyawa.

Pada Oktober lalu, kebakaran di Bukavu mengorbankan 14 orang, kebanyakannya kanak-kanak.

Kebakaran sering berlaku di bandar-bandar Congo yang kebanyakannya kekurangan peralatan memadam kebakaran. Pakar berkata antara puncanya ialah bangunan yang dibina terlalu rapat serta sambungan elektrik secara haram ke grid bekalan.

Minggu lalu, kebakaran pada satu majlis perkahwinan di ibu negara Kinshasa mengorbankan 12 orang. — AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.