Hala tuju FELDA 2025-2030: Fokus selesai kemelut FGV dan kepincangan tadbir urus aset

Foto FELDA

KUALA LUMPUR, 10 September – Isu status penyahsenaraian FGV Holdings Berhad serta kelemahan tadbir urus dalam pembelian dan pelaburan lapan aset antara perkara yang sedang diteliti dalam penyediaan laporan interim Pelan Strategik Hala Tuju Kumpulan FELDA 2025-2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laporan interim akan dikemukakan kepada Perdana Menteri pada penghujung bulan ini selepas enam siri mesyuarat, mengandungi hasil kajian dan cadangan penambahbaikan.
  • Menilai pembentukan model perniagaan baharu untuk mencapai kelestarian dan kemandirian Kumpulan FELDA.
  • Berperanan sebagai badan penasihat sementara tanggungjawab fidusiari kekal pada Lembaga Pengarah serta pengurusan FELDA; ahli termasuk pegawai kerajaan dan pakar luar.

Laporan interim berkenaan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada penghujung bulan ini, menurut Jawatankuasa Khas Pelan Strategik Hala Tuju Kumpulan FELDA 2025-2030 (Jawatankuasa Khas HTF30).

Jawatankuasa itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan penelitian berkenaan turut melibatkan pembentukan model perniagaan baharu bagi mencapai kelestarian dan kemandirian FELDA.

“Jawatankuasa Khas HTF30 sedang meneliti perkara-perkara seperti status penyahsenaraian FGV Holdings Berhad serta pembentukan model perniagaan baharu untuk mencapai kelestarian dan kemandirian FELDA.

“Bagi tujuan tersebut, Jawatankuasa Khas HTF30 sedang meneliti isu kelemahan tadbir urus dalam pembelian dan pelaburan lapan aset seperti yang terkandung dalam Kajian Forensik Kertas Putih Ke Arah Kelestarian FELDA yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 April 2019,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, penelitian turut merangkumi cadangan Model FELDA Baharu yang menyentuh tanggungjawab FELDA terhadap peneroka dan generasi seterusnya, selain isu premium tanah tertunggak, pendaftaran hak milik serta kedudukan tanah dengan kerajaan negeri.

Menurut jawatankuasa itu, laporan interim berkenaan disediakan selepas enam siri mesyuarat bersama pihak berkaitan termasuk FELDA, dengan penelitian meliputi hala tuju strategik, operasi, kedudukan kewangan, struktur organisasi dan tadbir urus Kumpulan FELDA.

“Satu laporan interim yang mengandungi hasil kajian dan cadangan-cadangan penambahbaikan oleh Jawatankuasa Khas HTF30 akan dikemukakan untuk pertimbangan YAB Perdana Menteri pada penghujung bulan ini,” menurut kenyataan itu.

Penubuhan Jawatankuasa Khas HTF30 diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Jun 2025 bagi mengkaji dan meneliti pelan strategik yang disediakan oleh FELDA.

Jawatankuasa itu dipengerusikan bersama Datuk Seri Ahmad Fuad Md Ali dan Dr Nungsari Ahmad Radhi.

Jawatankuasa Khas HTF30 hanya berperanan sebagai badan penasihat, manakala tanggungjawab fidusiari kekal digalas oleh Lembaga Pengarah serta pihak pengurusan FELDA dan anak syarikatnya selaras dengan struktur tadbir urus sedia ada.

Jawatankuasa itu turut dianggotai Nurhisham Hussein sebagai wakil daripada Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi, selain wakil Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Bahagian Kawal Selia FELDA, JPM.

Turut terlibat ialah pakar audit daripada Ernst & Young PLT Malaysia serta pakar undang-undang daripada Tetuan Mohamad Hanafiah Zakaria.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.