Kumpulan Huthi dakwa Arab Saudi lancar 40 serangan udara

Pihak berkuasa Huthi menyatakan terdapat serangan terhadap pasukan yang disokong Arab Saudi di barisan hadapan wilayah Jawf/ AFP

SANAA, 10 September – Kira-kira 40 serangan udara dilancarkan tentera Arab Saudi ke atas kumpulan Huthi pada Khamis, susulan serangan kumpulan yang disokong Iran itu ke atas wilayah Arab Saudi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Huthi melancarkan serangan besar terhadap pasukan kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi.
  • Kumpulan Huthi menyerang wilayah Arab Saudi, mengakibatkan puluhan orang cedera.
  • Pakatan pimpinan Arab Saudi berkata Huthi melancarkan peluru berpandu balistik dan dron ke bandar selatan; pertahanan awam memberi amaran.
  • Huthi cuba mara ke pesisir Laut Merah berhampiran Selat Bab al-Mandab, mengancam laluan perkapalan strategik; pertempuran mengorbankan lebih 500 orang.

Agensi berita Huthi, Saba melaporkan, ‘tentera udara Saudi melancarkan kira-kira 40 serangan dalam beberapa jam terakhir’ di wilayah Taiz, Hodeida, Al-Jawf dan Marib.

Huthi yang menguasai sebahagian besar kawasan barat laut Yaman, melancarkan serangan besar-besaran minggu lalu terhadap pasukan kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi.

Kumpulan itu turut melancarkan serangan ke atas wilayah Arab Saudi yang menyebabkan puluhan individu cedera.

Pada Rabu, pakatan diketuai Arab Saudi yang memerangi Huthi berkata, kumpulan itu melancarkan peluru berpandu balistik dan dron ke beberapa bandar di selatan Arab Saudi.

Pertahanan awam Arab Saudi turut mengeluarkan amaran mengenai “potensi bahaya” di dua kawasan, Khamis Mushait dan Abha.

Huthi berusaha mara ke kawasan pesisir Laut Merah yang bersempadan dengan Selat Bab al-Mandab, laluan perkapalan strategik.

Laluan air yang menghubungkan Asia ke Eropah melalui Laut Merah dan Terusan Suez itu semakin penting sebagai laluan transit sejak tercetusnya konflik lebih besar di Asia Barat, yang menyaksikan Iran menyekat Selat Hormuz.

Sejak minggu lalu, pertempuran di Yaman mengorbankan lebih 500 orang, kebanyakannya anggota kumpulan bersenjata.

Yaman kembali bergolak pada Julai selepas tempoh tenang selama beberapa tahun, apabila negara itu terheret ke dalam konflik serantau susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran yang bermula pada akhir Februari.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.