Laporan awal nahas helikopter Long Lellang dijangka dalam 30 hari – CAAM

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 10 September – Laporan awal nahas helikopter yang mengorbankan lima nyawa pada Selasa di Long Lellang, Sarawak, dijangka dikeluarkan dalam tempoh 30 hari.

RINGKASAN BERITA AI
  • AAIB menjalankan siasatan bebas untuk menentukan keadaan, faktor penyumbang dan punca nahas.
  • CAAM memberi kerjasama penuh; sebarang penemuan punca hanya boleh disahkan AAIB selepas pemeriksaan menyeluruh.
  • Layang Layang Aerospace menggantung sementara operasi BO-105 dan pesawat berenjin Rolls-Royce 250 sebagai langkah berjaga-jaga; CAAM memantau pemeriksaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata laporan penuh pula dijangka diterbitkan dalam tempoh setahun selepas nahas berkenaan.

“Siasatan dijalankan secara bebas oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan bagi menentukan keadaan, faktor penyumbang dan punca nahas,” katanya.

Beliau berkata sebarang penemuan berkaitan punca kejadian hanya boleh disahkan AAIB selepas pemeriksaan menyeluruh terhadap semua bukti berkaitan selesai dijalankan.

“Pada peringkat ini, adalah terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi sama ada nahas berpunca daripada masalah teknikal, keadaan cuaca, faktor manusia atau faktor lain,” katanya lagi.

CAAM memberikan kerjasama penuh kepada AAIB termasuk menyediakan semua dokumen dan rekod berkaitan bagi membantu siasatan nahas berkenaan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena majlis Seminar Keselamatan Penerbangan Malaysia 2026 (MASS’26) di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Layang Layang Aerospace secara sukarela menghentikan sementara operasi helikopter BO-105 serta pesawat lain dalam armadanya yang menggunakan enjin Rolls-Royce 250 sebagai langkah berjaga-jaga.

“Tindakan itu merupakan langkah keselamatan berjaga-jaga dan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai petunjuk enjin atau komponen tertentu menjadi punca nahas,” jelasnya.

Beliau berkata berdasarkan rekod CAAM, Sijil Kelayakan Udara pesawat terbabit masih sah hingga 4 Ogos 2027, manakala sijil pendaftarannya sah hingga 28 Julai 2029.

CAAM turut memantau program pemberhentian operasi sementara dan pemeriksaan oleh operator, selain meneliti rekod kawal selia berkaitan pesawat, operator dan juruterbang.

Dalam kejadian pada Selasa, helikopter yang sedang menjalankan operasi perkhidmatan doktor udara (FDS) terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching.

Mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.