
TEHRAN, 7 September – Rundingan Iran dan Oman berhubung penepatan laluan sementara di Selat Hormuz kini berada di peringkat akhir bagi membolehkan kapal-kapal berlayar dengan jaminan keselamatan.
- Persefahaman Iran dan Oman dijangka didaftarkan dengan Pertubuhan Maritim Antarabangsa dalam beberapa hari.
- Keselamatan Selat Hormuz terjejas akibat tindakan ketenteraan AS dan Israel, menyebabkan kapal kurang yakin menggunakan laluan.
- Rundingan teknikal fokus kepada koridor perkapalan kekal, pentadbiran selat, mekanisme pertukaran maklumat dan pengurusan trafik.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei berkata, persefahaman antara kedua-dua negara mengenai penepatan laluan itu dijangka didaftarkan dengan Pertubuhan Maritim Antarabangsa dalam beberapa hari akan datang.
Menurutnya, keselamatan di laluan perairan strategik tersebut terjejas, berpunca daripada tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.
Keadaan itu menyebabkan kapal-kapal masih belum dapat menggunakan laluan tersebut dengan rasa yakin serta selamat.
Dalam perkembangan berkaitan, Esmaeil juga mengesahkan lawatan delegasi Qatar ke Iran pada Ahad sebagai sebahagian daripada usaha Doha untuk meredakan ketegangan di rantau berkenaan.
Tehran dengan beberapa negara di rantau itu sebelum ini, turut berusaha meredakan ketegangan di rantau tersebut.
Iran dan Oman sebelum ini mengumumkan, kedua-dua pihak saling bertukar pandangan mengenai cadangan rangka kerja berfasa.
Cadangan rangka kerja itu antaranya merangkumi penubuhan koridor perkapalan sementara dan perjanjian pelaksanaan projek bagi membersihkan periuk api di Selat Hormuz.
Selain itu, rundingan peringkat teknikal antara Tehran dan Masqat pula akan memberi tumpuan kepada beberapa perkara termasuk penetapan koridor perkapalan secara kekal, pentadbiran masa depan Selat Hormuz, mekanisme pertukaran maklumat dan pengurusan trafik.
Sejak 28 Februari lalu, Iran memperketat kawalan terhadap Selat Hormuz termasuk menyekat laluan selamat bagi kapal yang dimiliki atau mempunyai kaitan dengan AS dan Israel susulan serangan sekutu itu ke atas wilayah Tehran.
Selat Hormuz merupakan laluan perkapalan tenaga yang amat penting dan sebarang gangguan terhadap keselamatannya berpotensi memberi kesan kepada perdagangan serta pasaran minyak global.