
JAKARTA, 8 Sept – Kesemua lapan lapangan terbang di Indonesia yang ditutup sementara akibat abu gunung berapi daripada Gunung Anak Krakatau kembali beroperasi selepas empat lapangan terbang terakhir dibuka semula pada Selasa.
- Semua lapan lapangan terbang yang ditutup sementara akibat abu Anak Krakatau kini telah kembali beroperasi.
- Abu masih dikesan hingga 6,000 kaki, bergerak ke selatan barat daya; pihak berkuasa terus memantau dan mengeluarkan amaran.
- Lapangan Terbang Wunopito ditutup sementara akibat abu Ili Lewotolok; AirNav mengeluarkan NOTAM dan memantau perkembangan ruang udara.
Gangguan itu sebelum ini menjejaskan ratusan penerbangan dan ribuan penumpang.
Direktorat Jeneral Penerbangan Awam Kementerian Pengangkutan memaklumkan empat lapangan terbang berkenaan ialah Lapangan Terbang Radin Inten II di Lampung, Lapangan Terbang Budiarto di Tangerang, Lapangan Terbang Pondok Cabe di Tangerang Selatan dan Lapangan Terbang Muhammad Taufiq Kiemas di Lampung.
Empat lapangan terbang itu menyusuli Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta dan Lapangan Terbang Husein Sastranegara di Bandung yang kembali beroperasi sejurus selepas tengah malam Selasa, selepas pihak berkuasa penerbangan dan meteorologi mengisytiharkan keadaan selamat.
Lapangan Terbang Atung Bungsu di Pagar Alam, Sumatera Selatan, merupakan lapangan terbang pertama yang dibuka semula pada 9 pagi Isnin selepas penilaian mendapati ia tidak lagi terjejas oleh abu gunung berapi.
“Kami akan terus memantau dengan teliti dan menyelaras dengan syarikat penerbangan, pengendali lapangan terbang, perkhidmatan navigasi udara serta agensi berkaitan lain mengenai operasi penerbangan,” menurut direktorat itu dalam hantaran di akaun Instagram rasminya.
Penutupan bermula pada hujung minggu selepas abu gunung berapi daripada Anak Krakatau, yang terletak di Selat Sunda antara Jawa dan Sumatera, menjejaskan ratusan penerbangan dan ribuan penumpang.
Walaupun kesemua lapan lapangan terbang telah kembali beroperasi, abu gunung berapi daripada Anak Krakatau masih dikesan pada ketinggian sehingga 6,000 kaki (1.8 kilometer) setakat 7 pagi Selasa, bergerak ke arah selatan-barat daya merentasi beberapa kawasan di barat Banten menuju Lautan Hindi.
Cuaca di sekitar Anak Krakatau dijangka kekal cerah hingga mendung sehingga Khamis, manakala arah angin dijangka berubah daripada tenggara pada Selasa kepada timur dalam dua hari berikutnya, menurut BMKG.
Agensi itu menggesa orang ramai, khususnya komuniti di sepanjang pesisir Selat Sunda supaya terus berwaspada, mengikuti perkembangan rasmi dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
Sementara itu, Lapangan Terbang Wunopito di Nusa Tenggara Timur yang mengendalikan penerbangan domestik ditutup sementara akibat abu gunung berapi daripada Gunung Ili Lewotolok.
Naib Presiden Eksekutif Setiausaha Korporat AirNav Indonesia Hermana Soegijantoro berkata lapangan terbang di Lewoleba itu ditutup mulai 7.01 pagi waktu tempatan pada Selasa dan dijangka dibuka semula pada 6 pagi Rabu.
Beliau berkata AirNav telah mengeluarkan Notis kepada Juruterbang (NOTAM) berhubung penutupan itu berikutan aktiviti gunung berapi yang masih berterusan, dengan letusan pada 6.35 pagi Selasa memuntahkan abu kira-kira 800 meter di atas puncak dan bergerak ke arah barat.
“AirNav Indonesia terus memantau pergerakan abu gunung berapi daripada Gunung Ili Lewotolok serta perkembangan di sekitar ruang penerbangan,” kata beliau.
AirNav turut menyelaras dengan pihak berkepentingan berkaitan dan akan mengeluarkan maklumat selanjutnya berdasarkan perkembangan semasa serta penilaian keselamatan penerbangan, menurut beliau.- BERNAMA