
SAUDARA PENGARANG
- Belia bukan penerima pasif; mereka bertindak sebagai pemacu kesepaduan sosial sekarang.
- Cabaran nyata termasuk pengangguran muda, jurang bandar-luar bandar dan Sabah-Sarawak, serta ancaman disinformasi di ruang digital.
- Tindakan belia terlihat melalui sukarelawan banjir, program komuniti, dialog kampus, sukan bersama dan kerjasama keusahawanan merentasi kaum.
- Perlu pengiktirafan dan kuasa; libatkan belia dalam dasar, tingkat celik digital, luaskan pertukaran rentas wilayah dan sokong inisiatif belia.
Setiap kali 16 September menjelma, satu ayat retorik hampir pasti bergema di pentas-pentas rasmi: “belia adalah pewaris negara.” Ia disebut dengan penuh keyakinan, ditulis di sepanduk, dilaungkan dalam ucapan.
Namun pada tahun ini, ketika Malaysia meraikan ulang tahun ke-63 pembentukannya melalui gabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963, sudah tiba masanya soalan yang lebih tajam diajukan.
Adakah belia hari ini sekadar menunggu giliran untuk mewarisi sebuah negara yang sudah siap dibina, atau adakah mereka sebenarnya sedang membina semula erti kesepaduan itu sendiri, di sini, sekarang?
Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati,” membawa mesej bahawa kemakmuran negara mesti dirasai secara saksama oleh semua lapisan rakyat.
Tetapi kesejahteraan yang dinikmati bersama tidak jatuh dari langit. Ia digerakkan oleh manusia yang memilih untuk bertindak melangkaui sekat kaum, agama dan wilayah dan golongan yang paling ramai berada di barisan hadapan tindakan itu hari ini ialah belia.
Naratif “Pewaris” Sudah Ketinggalan Zaman
Naratif pewaris ada asalnya yang baik. Ia lahir daripada hasrat untuk mengingatkan generasi muda bahawa kemerdekaan dan pembentukan Malaysia bukan pemberian percuma, sebaliknya hasil perjuangan yang perlu dihormati dan disambung.
Tetapi naratif ini juga membawa satu kelemahan tersembunyi. Ia meletakkan belia dalam kedudukan pasif, seolah-olah tugas mereka hanyalah menerima dan menyimpan, bukan mencipta dan menggerakkan.
Ironinya, sejarah 1963 sendiri tidak dibina oleh golongan pasif. Rundingan penubuhan Malaysia, penerimaan Perjanjian Malaysia 1963 oleh Sabah dan Sarawak, serta perjuangan menegakkan hak dan kedudukan istimewa kedua-dua wilayah itu dalam persekutuan baharu, banyak digerakkan oleh pemimpin muda pada zamannya.
Ramai kalangan mereka berusia awal 30-an atau lebih muda.
Mereka bukan pewaris yang menunggu; mereka pemacu yang bertindak. Menjadikan “pewaris” sebagai satu-satunya identiti belia hari ini sebenarnya mengkhianati semangat generasi yang mereka disuruh hormati.
Wajah Belia Malaysia Hari Ini
Belia bukan lagi kumpulan kecil di pinggir masyarakat. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, penduduk berusia 15 hingga 30 tahun membentuk sebahagian besar penduduk negara.
Negeri Sabah mencatatkan komposisi belia tertinggi iaitu lebih 33 peratus daripada jumlah penduduknya, diikuti Perlis, Kelantan, Johor dan Kedah.
Ini bermakna di sesetengah negeri, lebih kurang satu daripada tiga penduduk ialah golongan belia, iaitu sebuah kuasa demografi yang tidak boleh dianggap remeh dalam apa jua perbincangan mengenai perpaduan dan masa depan sosial negara.
Belia hari ini juga hidup dalam realiti yang jauh berbeza daripada generasi 1963. Mereka membesar dengan telefon pintar di tangan, terdedah kepada arus maklumat global dalam sekelip mata.
Mereka juga sering menghabiskan lebih banyak masa berinteraksi di ruang maya berbanding ruang fizikal yang merentasi kaum dan agama.
Ini pedang bermata dua: ruang digital boleh menjadi platform paling berkuasa untuk menyatukan, tetapi ia juga boleh menjadi ruang gema (echo chamber) yang mengukuhkan prasangka dan memecahbelahkan.
Antara Ruang Maya – Realiti: Cabaran yang Tidak Boleh Dinafikan
Adalah tidak jujur untuk menulis tentang belia sebagai pemacu kesepaduan tanpa mengakui cabaran yang mereka hadapi. Sebahagian belia, terutama dalam kumpulan umur 15 hingga 24 tahun, masih bergelut mencari pekerjaan yang sepadan dengan kelulusan mereka.
Ini satu tekanan ekonomi yang jika tidak ditangani, boleh melahirkan rasa kecewa dan mudah dieksploitasi oleh naratif perkauman atau politik identiti yang memecahbelahkan.
Jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, serta antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, turut membentuk pengalaman kesepaduan yang tidak seragam. Belia di kawasan pedalaman tidak selalunya mempunyai peluang interaksi rentas kaum yang sama seperti belia di bandar besar.
Ruang digital pula memperkenalkan cabaran baharu. Maklumat palsu yang tersebar pantas, ujaran kebencian yang bersembunyi di sebalik akaun tanpa nama dan aktivisme digital yang kadangkala lebih menjurus kepada mempertahankan kumpulan sendiri berbanding membina kefahaman bersama.
Dalam persekitaran sebegini, menjadi pemacu kesepaduan bukan lagi sekadar soal niat baik, tetapi memerlukan kemahiran, iaitu celik digital, daya tahan kritikal terhadap maklumat dan keupayaan berdialog merentasi perbezaan.
Bukti Belia Sudah Menjadi Pemacu, Bukan Sekadar Menunggu
Walaupun cabaran ini nyata, bukti bahawa belia sudah bertindak sebagai pemacu kesepaduan turut sama nyata, hanya kurang mendapat sorotan berbanding naratif pasif yang sering diulang.
Ketika banjir besar melanda pelbagai negeri saban tahun, barisan sukarelawan yang paling pantas bergerak ke pusat pemindahan untuk memasak, mengangkut bekalan dan membersih rumah mangsa tanpa mengira kaum atau agama mangsa yang dibantu, sebahagian besarnya terdiri daripada belia.
Program seperti MySTEP dan pelbagai inisiatif kesukarelawanan komuniti turut menjadi ruang di mana belia dari latar belakang berbeza bekerja bersama demi matlamat yang sama, membina hubungan yang tidak mungkin terbentuk hanya melalui slogan.
Di kampus-kampus pengajian tinggi, kelab dan persatuan pelbagai kaum serta agama semakin aktif menganjurkan program dialog antara budaya, bukan atas arahan pihak atasan, tetapi atas inisiatif belia itu sendiri.
Dalam sukan pula, penyertaan silang kaum dalam pasukan-pasukan belia peringkat negeri dan negara terus membuktikan bahawa gelanggang sukan kekal salah satu ruang paling berkesan untuk merapatkan jurang sosial.
Malah dalam keusahawanan, semakin ramai belia membina perniagaan bersama rakan kongsi merentasi kaum, digerakkan bukan oleh dasar kerajaan, tetapi oleh naluri praktikal bahawa kepelbagaian adalah kelebihan, bukan penghalang.
Semua ini menunjukkan sesuatu yang penting: belia tidak menunggu untuk diberi peranan sebagai penggerak perpaduan. Mereka sudah pun mengambil peranan itu, sering kali secara senyap dan tanpa pengiktirafan yang sewajarnya.
Belia Penggerak Kesepaduan yang Diperkasa
Jika belia sudah membuktikan diri sebagai pemacu, persoalan sebenar bukan lagi “adakah belia mampu,” tetapi “adakah struktur negara memperkasa mereka untuk berbuat lebih.” Beberapa langkah wajar difikirkan bersama.
Pertama, suara belia perlu mendapat tempat yang lebih bermakna dalam pembentukan dasar perpaduan negara, bukan sekadar sebagai kumpulan sasaran program, tetapi sebagai rakan dalam merangka penyelesaian.
Kedua, pendidikan celik digital dan kemahiran berfikir kritis terhadap maklumat perlu diperkukuh seawal peringkat sekolah menengah, supaya belia mampu menjadi penapis kepada disinformasi yang memecahbelahkan, bukan penyebarnya.
Ketiga, program kesukarelawanan dan pertukaran rentas wilayah, yang menghubungkan belia Semenanjung dengan belia Sabah dan Sarawak serta belia bandar dengan belia luar bandar, perlu diperluas dan diberi pembiayaan yang konsisten, bukan bermusim mengikut kalendar sambutan kebangsaan sahaja.
Keempat, inisiatif kesepaduan pimpinan belia sendiri wajar disokong dari segi dana dan pengiktirafan, kerana program yang lahir daripada belia untuk belia selalunya lebih relevan dan lebih berkesan berbanding program yang direka sepenuhnya dari atas ke bawah.
Yang lebih penting, sikap masyarakat dan institusi turut perlu berubah, daripada memandang belia sebagai penerima pasif warisan, kepada mengiktiraf mereka sebagai rakan kongsi aktif yang sedang, pada saat ini juga, membentuk semula makna perpaduan untuk zaman mereka.
Warisan yang Terus Digerakkan
Hari Malaysia sepatutnya bukan sekadar detik untuk mengenang sejarah 1963, tetapi juga detik untuk menilai semula bagaimana semangat itu diteruskan hari ini.
Kesejahteraan yang ingin dinikmati bersama, seperti yang digariskan dalam tema tahun ini, hanya akan menjadi kenyataan jika kesepaduan sosial terus digerakkan secara aktif oleh mereka yang hidup dalam realiti kepelbagaian Malaysia hari ini, dan golongan itu, tanpa dinafikan, ialah belia.
Maka pada Hari Malaysia kali ini, eloklah naratif itu diperbetulkan. Belia bukan sekadar pewaris yang menunggu gilirannya. Mereka pemacu yang sudah pun berada di pemandu, menentukan ke mana hala tuju kesepaduan negara ini seterusnya.
Tugas kita, sebagai masyarakat, institusi dan pembuat dasar, bukan untuk terus mengingatkan mereka tentang warisan, tetapi untuk memberi ruang, kepercayaan dan sokongan supaya mereka terus memacu warisan itu ke destinasi yang lebih baik.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

Dr. Ummi Munirah Syuhada Mohamad Zan
Pensyarah
Jabatan Sains Kuantitatif
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
E-mel: ummi@uis.edu.my