
SEREMBAN, 8 Sept – Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR) di Paroi, Negeri Sembilan bakal berwajah baharu menerusi kerja naik taraf dan penambahbaikan membabitkan peruntukan keseluruhan lebih RM6 juta.
- Peruntukan terperinci: RM500,000 bilik persalinan; RM600,000 cat luar; RM4.3 juta pencahayaan; RM650,000 baik pulih tandas dan surau.
- Kerja naik taraf kini dianggarkan 70 peratus siap; lampu limpah dijangka siap pada Mac tahun depan.
- Naik taraf bertujuan memberi keselesaan pengguna, sokongan kepada penyokong serta meningkatkan motivasi atlet untuk kejayaan.
Menurut Exco Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mustapha Nagoor, ia melibatkan peruntukan RM500,000 bagi menaik taraf bilik persalinan, RM600,000 untuk kerja mengecat bahagian luar stadium, RM4.3 juta bagi menaik taraf sistem pencahayaan serta RM650,000 untuk membaik pulih tandas dan surau.
Setakat ini, keseluruhan kerja penambahbaikan dianggarkan mencapai kira-kira 70 peratus.
“Dua projek membabitkan bilik persalinan serta kerja mengecat telah siap sepenuhnya, manakala kerja menaik taraf sistem pencahayaan serta membaik pulih tandas dan surau masih dilaksanakan. Pemasangan lampu limpah baharu akan siap pada Mac tahun depan sementara naik taraf tandas sedang dilakukan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kerja-Kerja Menaik Taraf STAR di sini.
Menurutnya, usaha menaik taraf kemudahan sukan itu diharap dapat memberi keselesaan kepada pengguna dan penyokong, selain meningkatkan motivasi atlet untuk terus mencipta kejayaan.
“STAR yang kali terakhir melalui kerja naik taraf besar sekitar penganjuran Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2004 kini berusia lebih dua dekad dan memerlukan penambahbaikan secara berperingkat,”tambah beliau lagi.