Kebakaran hutan, gelombang haba ancam kualiti udara dan kesihatan – PBB

Foto REUTERS

GENEVA, 7 September Kebakaran hutan dan gelombang haba yang menghasilkan bahan pencemar mikroskopik di udara kini mengancam usaha antarabangsa dalam meningkatkan kualiti udara, melindungi kesihatan manusia serta memelihara alam sekitar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Walaupun pelepasan industri dan pengangkutan menurun di Eropah dan Amerika Utara, pendedahan PM2.5 daripada kebakaran hutan meningkat.
  • PM2.5 ialah zarah kurang 2.5 mikrometer yang menembusi paru paru dan saluran darah, menimbulkan risiko kesihatan serius.
  • WMO mendesak pemantauan lebih ketat terhadap aerosol seperti karbon hitam, mikroplastik dan ozon serta gabungkan dasar kualiti udara dengan iklim.

Amaran tersebut dikeluarkan oleh Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) dalam Buletin Kualiti Udara dan Iklim Tahunan terbaharunya yang dikeluarkan pada Isnin.

Agensi cuaca dan iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu menegaskan wujudnya hubungan rapat antara pencemaran udara dan perubahan iklim, yang menurut saintis menjadi punca kepada berlakunya gelombang haba serta kebakaran hutan lebih kerap dan ekstrem.

“Kebakaran hutan yang ekstrem semakin meningkat sekali gus membawa kesan kesihatan yang besar berikutan tahap toksik asap yang tinggi,” jelas WMO dalam satu kenyataan.

Tambah laporan itu, walaupun peraturan di Eropah dan Amerika Utara berjaya mengurangkan pelepasan zarah halus (PM2.5) daripada sektor industri serta pengangkutan, pendedahan kepada PM2.5 akibat kebakaran hutan pula mencatatkan peningkatan.

“Zarah halus PM2.5 terdiri daripada zarah mikroskopik dan titisan berdiameter kurang daripada 2.5 mikrometer. Ia berisiko tinggi kepada kesihatan kerana mampu menembusi jauh ke dalam paru-paru dan saluran darah,” tegasnya.

Selain terhasil daripada kegiatan industri berteraskan bahan api fosil, pertanian, pemanasan domestik dan pengangkutan, PM2.5 turut berpunca daripada kebakaran hutan serta ribut debu.

WMO mendesak agar pemantauan lebih ketat dibuat terhadap bahan pencemar udara seperti aerosol termasuk karbon hitam dan mikroplastik iaitu zarah halus serta ozon.

“Bahan pencemar ini tidak dipantau dengan secukupnya walaupun ia tersebar luas dan berpotensi merosakkan ekosistem.

Usaha dan dasar berkaitan kualiti udara dan iklim amat diperlukan kerana kedua-duanya tidak boleh ditangani secara berasingan,” tegas agensi itu.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.