
KANGAR, 6 September – Sokongan berterusan ibu bapa dan keluarga penting dalam membantu pelajar daripada golongan asnaf meningkatkan keyakinan diri serta prestasi akademik menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
- Penglibatan ibu bapa dalam program persiapan SPM meningkatkan motivasi dan membina komitmen bersama pelajar asnaf.
- Bengkel fokus kepada penguasaan konsep Matematik, teknik menjawab soalan dan strategi peperiksaan untuk persediaan sistematik menjelang SPM.
- Kerjasama strategik antara FCoEE, Jabatan Pendidikan, sekolah dan ibu bapa perlu diperkukuh bagi memperluas manfaat kepada pelajar asnaf.
Pengerusi Eksekutif Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE), Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, persediaan menghadapi SPM bukan hanya bergantung kepada keupayaan pelajar menguasai pelajaran, sebaliknya turut dipengaruhi oleh sokongan keluarga dan persekitaran pendidikan yang positif.
Menurut beliau, penglibatan ibu bapa bersama anak-anak dalam program persediaan SPM dapat meningkatkan motivasi serta membina komitmen bersama dalam menghadapi cabaran peperiksaan.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Matematik dan Sesi Inspirasi Persiapan SPM Bersama Ibu Bapa dan Murid Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih Madani (PPITM), di sini.
Program berkenaan menghimpunkan 45 pelajar asnaf dari sekolah menengah seluruh Perlis bersama ibu bapa masing-masing.
Bengkel itu memberi fokus kepada penguasaan konsep Matematik, teknik menjawab soalan dan strategi menghadapi peperiksaan, selain membantu pelajar membuat persediaan lebih sistematik menjelang SPM.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama strategik antara FCoEE dengan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, pihak sekolah dan ibu bapa perlu terus diperkukuh bagi memperluas manfaat program pembangunan akademik dan sahsiah kepada lebih ramai pelajar, khususnya golongan asnaf.