KPKM rancang pendekatan SANDBOX bersama PBT, selaras isu perundangan agromakanan

Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak ditemu bual pemberita selepas Majlis Peluncuran Iman-Sistem Tempahan Daging oleh DAEM./ BERNAMA

SERDANG, 5 Sept – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) merancang melaksanakan pendekatan sandbox (medan ujian) bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menyelaras isu perundangan serta peraturan membabitkan model perniagaan baharu dalam sektor agromakanan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan sandbox membolehkan kenal pasti dan atasi halangan perundangan serta peraturan untuk operasi fleksibel dan penciptaan nilai baharu.
  • Pelancaran IMAN, sistem AI DAEM, memudahkan tempahan daging terus melalui aplikasi WhatsApp di MAHA.
  • Keselamatan makanan, kualiti dan status halal kekal syarat mandatori yang tidak boleh dikompromi.
  • MAHA 2026 berjaya; nilai pelaburan melebihi sasaran, menunjukkan sektor pertanian tunjang strategik keterjaminan makanan negara.

​Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak berkata langkah itu penting bagi memastikan garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) baharu dapat dikeluarkan secara teratur, sekali gus menyokong potensi pertumbuhan usahawan tempatan.

​”Model (perniagaan) ini mempunyai potensi dan permintaan yang tinggi, namun terdapat beberapa perkara dari segi perundangan yang perlu diselaraskan dengan PBT supaya ia boleh dilaksanakan di seluruh negara.

​”Pendekatan sandbox ini membolehkan kita mengenal pasti serta mengatasi pelbagai halangan perundangan dan peraturan. Kita mahu beroperasi secara fleksibel dan tak terlalu rigid bagi membuka lebih banyak peluang penciptaan nilai baharu pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sistem digital Integrated Management Autonomous Network (IMAN), iaitu sistem kecerdasan buatan (AI) bagi Syarikat DAEM Sdn Bhd untuk melakukan tempahan daging terus melalui aplikasi WhatsApp sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Mohd Noor Hisham Mohd Haron, selebriti dan usahawan yang juga pengasas bersama DAEM, Alif Satar serta seorang lagi pengasas bersama DAEM Muhammmad Radhi Azizan.

Isham berkata biarpun pendekatan fleksibel diambil dari segi perundangan, namun aspek keselamatan makanan, kualiti dan status halal kekal menjadi syarat mandatori yang tidak boleh dikompromi.

“Bila pengguna menikmati produk seperti daging ini, kita perlu pastikan ia selamat, memenuhi keperluan mandatori serta patuh syariah dari segi halal. Ini penting bagi memberi keyakinan kepada awam bahawa produk tempatan bukan sahaja berkualiti tinggi malah dijamin selamat,” katanya.

Mengenai MAHA 2026 yang akan melabuhkan tirainya esok, Isham berkata penganjuran MAHA tahun ini amat berjaya berdasarkan sambutan luar biasa pengunjung serta pendedahan berkesan terhadap agenda keterjaminan makanan negara.

Beliau berkata sasaran awal nilai pelaburan yang ditetapkan sebanyak RM8 bilion telah dilepasi apabila hari ini mencatat RM9.3 bilion dan dijangka terus meningkat melepasi RM10 bilion pada hari terakhir MAHA 2026 yang akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis penutupan esok.

“Penganjuran MAHA ini membuktikan bahawa sektor pertanian bukan sahaja aktiviti ekonomi yang dinamik, malah merupakan tunjang strategik negara dalam menjayakan agenda keterjaminan makanan,” katanya. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.