
DUNGUN, 5 September – Kira-kira 50 buah rumah di Felda Jerangau, Dungun, Terengganu rosak selepas dibadai ribut kuat dalam kejadian pada Jumaat.
- Ribut dianggap terburuk dalam 13 tahun, menyebabkan bumbung rumah rosak dan puluhan pokok tumbang.
- Penduduk sibuk membersihkan serpihan atap dan kawasan kediaman yang diterbangkan ribut.
- Kejadian kira-kira jam enam petang selama sekitar 10 minit menyebabkan penduduk bimbang dan panik.
- ADUN Bukit Besi umum kerja baik pulih pada Ahad dan bantuan diselaraskan melalui Tabung Darul Iman.
Tinjauan RTM di tanah rancangan itu mendapati penduduk sedang sibuk membersihkan kawasan kediaman yang dipenuhi serpihan atap yang diterbangkan ribut.
Menurut penduduk Che Ku Esah Che Ku Muda, kejadian kira-kira jam enam petang itu yang berlaku kira-kira 10 minit menyebabkan penduduk terbabit berada dalam keadaan bimbang dan panik.
“Kejadian yang berlaku ini memang menakutkan saya. Saya risau kejadian ribut melanda ke kawasan kami, nasib baik kejadian itu hanya lalu di bahagian tepi sahaja,” katanya.
Menurut Titik Norhayati Darsono, hujan lebat disertai angin kencang menyebabkan penduduk terpaksa berlindung di dalam rumah dan sebahagian besar daripada mereka tidak sempat menyelamatkan barang-barang penting.
“Ketika itu, anak-anak berada di dalam rumah. Kami peluk mereka semua kerana mereka menangis dan takut apabila terdengar bunyi yang kuat.
“Saya pun menangis kerana takut, tetapi alhamdulillah, semuanya selamat. Cuma bahagian atap rumah yang mengalami kerosakan,” katanya.
Menurut penduduk, kejadian ribut kuat itu mengejutkan mereka kerana ianya berlaku dalam tempoh masa yang singkat tetapi kesan kemusnahannya menyebabkan puluhan rumah terjejas.
Kejadian ribut yang dianggap terburuk dalam tempoh 13 tahun itu mengakibatkan sebahagian struktur bumbung rumah rosak selain menyebabkan puluhan pokok tumbang di beberapa lokasi itu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, ketika dihubungi berkata, kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan pada Ahad, membabitkan kerja baik pulih struktur bumbung dan atap rumah yang rosak dan kerosakan lain yang akan dikenal pasti.
Pihaknya turut menyelaraskan bantuan melalui Tabung Darul Iman bagi membantu penduduk terjejas termasuk bantuan lain yang diperlukan.