Wanita warga emas berpotensi perkasa ekonomi perak

Datuk Seri Nancy Shukri / Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 September – Peningkatan jumlah wanita warga emas perlu dimanfaatkan sebagai potensi untuk memperkasa ekonomi perak termasuk menerusi penglibatan mereka dalam pekerjaan, keusahawanan dan aktiviti ekonomi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perubahan demografi memerlukan wanita diberi ruang menyumbang berdasarkan pengalaman, kemahiran dan keupayaan mereka.
  • Wanita hidup lebih lama; pengalaman dan keperluan mereka mesti jadi keutamaan dalam persediaan menghadapi penuaan.
  • Wanita perlu kekal penyumbang aktif sebagai pekerja, pengguna, usahawan, inovator dan pemimpin kepada keluarga, komuniti dan negara.
  • Peningkatan warga emas buka peluang perniagaan AgeTech, penjagaan kesihatan, perumahan mesra warga emas serta pelancongan dan riadah disesuaikan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata pendekatan itu semakin penting ketika Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang tahun 2030 apabila kira-kira 15 peratus penduduknya berusia 60 tahun ke atas.

Menurut beliau, perubahan demografi itu memerlukan wanita terus diberi ruang untuk menyumbang berdasarkan pengalaman, kemahiran dan keupayaan mereka.

“Memandangkan wanita secara umumnya hidup lebih lama berbanding lelaki, pengalaman dan keperluan mereka mesti menjadi perkara utama dalam persediaan menghadapi perubahan ini.

“Wanita perlu kekal sebagai penyumbang aktif kepada keluarga, komuniti, ekonomi dan negara, termasuk sebagai pekerja, pengguna, usahawan, inovator dan pemimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Kebangsaan Ke-65 anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), di sini, hari ini.

Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat menghadiri majlis tersebut.

Sementara itu, Yang Dipertua NCWO, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan berpandangan, peningkatan jumlah warga emas turut membuka ruang baharu kepada perniagaan dan pelaburan dalam ekonomi perak.

Menurut beliau, golongan itu menjadi pemacu kepada pertumbuhan pasaran yang merangkumi sektor penjagaan kesihatan, terapeutik, penjagaan diri, teknologi bantuan, perumahan serta pelancongan.

“Sektor teknologi warga emas (AgeTech) pula menghasilkan peranti rumah pintar, alat bantuan mobiliti serta teknologi bantuan bagi pemantauan jarak jauh untuk individu yang memilih menjalani usia lanjut di kediaman sendiri.

“Pembangunan perumahan mesra warga emas juga semakin berkembang, manakala perkhidmatan pelancongan dan riadah yang disesuaikan untuk golongan warga emas aktif turut mendorong pertumbuhan sektor pelancongan warga emas,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.