
PUTRAJAYA, 2 September – Seramai 1,476 pelarian Myanmar secara sukarela bersetuju untuk pulang ke negara asal, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
- Proses penghantaran pulang dijalankan hujung September, kata pihak berkenaan.
- Wisma Putra dan Kementerian Luar memberi jaminan keselamatan di Myanmar; tidak akan berlaku perkara tidak diingini.
- Pelarian disaring oleh Kementerian Dalam Negeri sebelum dikemukakan kepada Kedutaan Myanmar untuk persetujuan penghantaran.
Beliau berkata proses penghantaran pulang akan dilaksanakan pada hujung September ini dengan jaminan keselamatan Myanmar.
“Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, kesemua pelarian telah menandatangani dokumen berkaitan yang menyatakan bahawa mereka secara sukarela pulang ke Myanmar.
“Kementerian Luar khususnya Wisma Putra turut memaklumkan tidak akan ada berlaku apa-apa (yang tidak diingini) atau perkara yang telah dipersetujui dengan pihak Myanmar adalah 1,476 daripada 5,000 pelarian untuk dikembalikan (ke negara asal), mereka akan selamat di Myanmar,” katanya.
Tambah beliau, 1,476 pelarian Myanmar yang dalam tahanan imigresen itu selepas disaring oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum dikemukakan kepada Kedutaan Myanmar untuk persetujuan penghantaran pulang.
“Daripada lebih 10,000 pelarian Myanmar yang berada dalam tahanan imigresen, kira-kira 5,000 nama telah disaring KDN sebelum dikemukakan kepada Kedutaan Myanmar,” jelasnya lagi.
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.