
PUTRAJAYA, 1 September – Pengurusan kes insolvensi yang melibatkan penghutang, aset, pemiutang atau prosiding di lebih daripada satu bidang kuasa kini diperkukuh menerusi Akta Insolvensi Rentas Sempadan 2026 (Akta 877) yang berkuat kuasa mulai 28 Ogos lalu.
- Akta memperkenalkan mekanisme khusus untuk mengendalikan prosiding insolvensi rentas sempadan selaras model UNCITRAL dengan penyesuaian kepada konteks Malaysia.
- Memperkukuh kerjasama antara mahkamah dan pihak berkuasa bagi meningkatkan kecekapan pengurusan kes serta memberikan kepastian undang-undang kepada pihak berkepentingan.
- Melindungi kepentingan pemiutang, memaksimumkan nilai aset penghutang dan memudahkan penyelamatan perniagaan untuk melindungi pelaburan serta pekerjaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, dalam satu kenyataan bersama memaklumkan, akta itu menyediakan mekanisme khusus bagi mengendalikan prosiding insolvensi rentas sempadan.
Ia dibangun berasaskan Undang-Undang Model Insolvensi Rentas Sempadan yang diterima pakai oleh Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL), dengan penyesuaian kepada undang-undang, amalan kehakiman, keadaan ekonomi serta kepentingan awam Malaysia.
“Penguatkuasaannya dijangka meningkatkan kecekapan pengurusan kes, memperkukuh kerjasama antara mahkamah dan pihak berkuasa berkaitan serta memberikan kepastian undang-undang kepada pihak berkepentingan,” menurut kenyataan itu.
Akta berkenaan juga bertujuan melindungi kepentingan pemiutang, memaksimumkan nilai aset penghutang serta memudahkan penyelamatan perniagaan bagi melindungi pelaburan dan memelihara pekerjaan.
Kenyataan sama turut memaklumkan, Akta 877 merupakan sebahagian agenda reformasi undang-undang bagi memastikan kerangka perundangan negara kekal relevan dan sejajar perkembangan ekonomi serta perdagangan antarabangsa.
“Kerajaan komited memastikan pelaksanaan akta tersebut berjalan secara teratur, cekap dan berkesan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi serta kedudukan Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan antarabangsa,” jelas kenyataan itu lagi.