
LANGKAWI, 1 September – Selepas melalui tempoh pemulihan dan rehabilitasi, pelayar negara Khairulnizam Mohd Afendy kini kembali bersedia untuk menggalas cabaran Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
- Berbekalkan pengalaman empat edisi Olimpik dan dua pingat perak Sukan Asia, menyasarkan penampilan terbaik di Aichi-Nagoya.
- Sukan Asia berbeza; penekanan kemampuan menyerap tekanan untuk memberikan prestasi terbaik pada hari perlumbaan.
- Dijadual bertanding dalam acara ILCA 7 dari 26 September, menyasarkan peluang pingat dan membuktikan daya saing di peringkat tertinggi.
Berbekalkan pengalaman beraksi dalam empat edisi Sukan Olimpik serta meraih dua pingat perak Sukan Asia, pelayar berpengalaman itu menyasarkan penampilan terbaik pada temasya berkenaan.
Kembali menjalani latihan selepas tempoh rehabilitasi menjadi antara cabaran terbesar Khairulnizam dalam persiapannya menghadapi saingan di Jepun.
Beliau mengakui aspek fizikal perlu diberikan perhatian bagi memastikan dirinya benar-benar bersedia sebelum turun beraksi di pentas antarabangsa.
Bagaimanapun, tempoh pemulihan itu tidak mematahkan semangatnya untuk kembali bersaing dan memberikan yang terbaik buat negara.
“Sejujurnya, ibarat saya dilancarkan semula dalam sukan ini sebab saya tak pernah bertanding tahun ini dan ia satu cabaran baharu. Saya cuba untuk tidak fikir terlalu banyak, pergi dan buat yang terbaik.
“Kita tahu Sukan Asia ini permainannya berbeza daripada kejohanan dunia atau temasya lain yang biasa kita sertai.
“Sukan Asia ini ada tekanan dan siapa yang boleh menyerap tekanan itu, dia akan dapat memberikan prestasi terbaik pada hari dan tempoh tertentu, Insya-Allah,”katanya.
Beliau ditemui selepas sesi lawatan Timbalan Chef de Mission (DCDM), Mohamad Azlan Iskandar dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi ke Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan di Kelibang, Langkawi, hari ini.
Turut hadir Pengurus Pasukan, Mohd Afendy Abdullah serta barisan atlet sukan pelayaran negara.
Acara pelayaran Sukan Asia Aichi-Nagoya dijadual berlangsung dari 26 September hingga 3 Oktober di Kaiyoh Yacht Harbor, Gamagori, Aichi.
Khairulnizam dijangka bersaing dalam acara ILCA 7 lelaki, dengan perlumbaan pembukaan dijadual bermula pada 26 September.
Acara berkenaan turut menyediakan perlumbaan pingat membabitkan 10 pelayar terbaik selepas siri perlumbaan pembukaan.
Dengan masa yang semakin suntuk, tumpuan kini diberikan kepada tahap kecergasan dan persediaan teknikal bagi memastikan Khairulnizam dapat kembali mencapai prestasi terbaik.
Bagi pelayar berpengalaman itu, Aichi-Nagoya 2026 bukan sekadar pentas untuk kembali beraksi, sebaliknya peluang membuktikan dirinya masih mampu bersaing di peringkat tertinggi serta menyumbang pingat buat kontinjen negara.