Brazil kritik tarif AS sebagai tidak berasas

Menteri Luar Brazil Mauro Vieira

 

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri Luar Mauro Vieira dan Menteri Pembangunan Marcio Elias Rosa mengadakan mesyuarat maya dengan Wakil Perdagangan AS.
  • Dalam kenyataan bersama, Brazil kata dilayan tidak adil dan hujah AS di bawah Seksyen 301 tidak menggambarkan amalan sebenar negara.
  • Kedua-dua negara bersetuju meneruskan rundingan dengan mesyuarat teknikal dalam beberapa minggu dan pertemuan menteri untuk menilai kemajuan.

BRASILIA, 1 September – Brazil pada Isnin sekali lagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas produk negara itu, sambil menyifatkan langkah berkenaan sebagai “tidak berasas dan tidak selaras” dengan peraturan perdagangan antarabangsa, lapor Xinhua.

Menteri Luar Brazil Mauro Vieira dan Menteri Pembangunan, Industri, Perdagangan dan Perkhidmatan Marcio Elias Rosa menyuarakan pendirian itu dalam mesyuarat secara maya dengan Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer.

Dalam satu kenyataan bersama, kementerian Brazil berkata negara itu dilayan secara tidak adil dan alasan yang dikemukakan Washington dalam siasatan di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan AS 1974 tidak mencerminkan amalan sebenar Brazil.

Walaupun terdapat perbezaan pendirian, kedua-dua negara bersetuju untuk meneruskan rundingan.

Mesyuarat teknikal, sama ada secara maya atau bersemuka akan diadakan dalam beberapa minggu akan datang sebelum disusuli satu lagi mesyuarat peringkat menteri bagi menilai kemajuan.

Kerajaan Brazil berkata pihaknya akan terus berusaha mencapai perjanjian yang “seimbang dan saling menguntungkan” dengan AS menerusi dialog serta penghormatan terhadap kedaulatan negara.

Mesyuarat maya pada Isnin itu menyusuli perbualan telefon antara Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden AS Donald Trump pada 21 Ogos, apabila Lula sekali lagi mempersoalkan tarif berkenaan manakala Trump mencadangkan rundingan dimulakan semula.

Pada Julai, Pejabat Wakil Perdagangan AS mengenakan surcaj 25 peratus ke atas beberapa produk Brazil selepas hampir setahun melakukan semakan.

Surcaj tambahan 12.5 peratus kemudian dikenakan ke atas lebih banyak produk Brazil. – BERNAMA-XINHUA

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.