Bekas ketua geng bersalah dalam kes pembunuhan Tupac Shakur

Foto Tupac Shakur dan Suge Knight dipaparkan ketika perbicaraan kes pembunuhan rapper itu di Las Vegas pada 21 Ogos lalu/Foto REUTERS

WASHINGTON, 1 September – Hampir 30 tahun selepas penyanyi rap Amerika Syarikat (AS) Tupac Shakur dibunuh, bekas ketua geng Duane Davis didapati bersalah merancang pembunuhan itu, lapor agensi berita Jerman dpa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tupac Shakur, ikon rap 1990-an, ditembak di Las Vegas pada 7 Sept 1996 dan meninggal dunia enam hari kemudian.
  • Pendakwaan mendakwa Duane Davis mengatur serangan dan mendapatkan senjata yang digunakan, walaupun tidak didakwa melepaskan tembakan sendiri.
  • Davis pernah mengaku berada dalam Cadillac putih; pada 2008 katanya anak saudara yang melepaskan tembakan, peguam gambarkan dia pembohong.

Juri di Las Vegas pada Isnin mendapati Davis, 63, bertanggungjawab atas kematian penyanyi rap berkenaan pada 1996.

Tupac Shakur merupakan antara penyanyi rap paling berpengaruh dan berjaya pada era 1990-an serta kekal antara tokoh penting yang membentuk muzik hip-hop.

Pemuzik yang terkenal menerusi lagu seperti “California Love” dan “Changes” itu menjual jutaan rakaman di seluruh dunia.

Shakur, yang ketika itu berusia 25 tahun, ditembak ketika berada di dalam sebuah kereta di Las Vegas pada 7 Sept 1996 dan meninggal dunia di hospital enam hari kemudian.

Davis tidak dituduh melepaskan tembakan itu sendiri. Sebaliknya, pendakwa raya menganggap bekas ketua geng jalanan South Side Compton Crips itu sebagai dalang di sebalik serangan maut berkenaan.

Paparan foto Tupac Shakur dan Marion “Suge” Knight serta petikan Duane Davis ketika hujahan penutup pendakwaan di Las Vegas/Foto REUTERS

Menurut pihak pendakwaan, Davis mengatur serangan itu dan mendapatkan senjata api yang digunakan.

Mengikut undang-undang negeri Nevada, seseorang juga boleh disabitkan kesalahan membunuh kerana membantu individu lain melakukan jenayah berkenaan.

Bekas ketua geng itu ditahan di Las Vegas pada 2023 dan didakwa atas kesalahan membunuh menggunakan senjata berbahaya. Dia mengaku tidak bersalah di mahkamah.

Duane Davis ketika prosiding perbicaraan kes pembunuhan Tupac Shakur di Las Vegas/Foto REUTERS

Davis beberapa kali secara terbuka mengakui bahawa dia berada di dalam Cadillac putih yang digunakan ketika tembakan dilepaskan ke arah Shakur.

Dalam beberapa wawancara dan autobiografinya, Davis berkata dia merupakan satu-satunya individu di dalam kereta itu yang masih hidup.

Bagaimanapun, ketika disoal siasat polis pada 2008, Davis berkata anak saudaranya yang melepaskan tembakan maut itu.

Peguam belanya, Michael Sanft, menggunakan strategi dengan menggambarkan Davis sebagai seorang pembohong dan suka bermegah yang mereka-reka cerita berkenaan semata-mata untuk meraih keuntungan. – BERNAMA-dpa

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.