Sabah terus pantau IPU tidak sihat di beberapa kawasan

Foto Fail

KOTA KINABALU, 1 Sept – Beberapa kawasan di Sabah termasuk Tawau, Semporna dan Kota Kinabalu mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan negeri dan agensi berkaitan terus memantau jerebu melalui pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan.
  • Orang ramai diminta tidak melakukan pembakaran terbuka serta mengutamakan kesihatan dengan mengurangkan aktiviti luar.
  • Persatuan sukan dan penganjur diminta memantau IPU serta mengurangkan, menangguhkan atau pindahkan aktiviti berintensiti tinggi jika perlu.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan, kerajaan negeri melalui agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan jerebu termasuk aspek pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan.

“Masyarakat diminta agar tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi keadaan kualiti udara,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengutamakan kesihatan dan mengurangkan aktiviti luar.

“Orang ramai khususnya kanak-kanak, belia, warga emas serta individu yang mempunyai masalah kesihatan dan pernafasan dinasihati mengurangkan aktiviti fizikal dan aktiviti di luar rumah,” katanya.

Pada masa sama, pihaknya meminta persatuan sukan, akademi, kelab, jurulatih dan penganjur program memantau bacaan IPU sebelum menjalankan aktiviti luar.

“Aktiviti berintensiti tinggi di kawasan terbuka wajar dikurangkan, ditangguhkan atau dipindahkan ke lokasi tertutup sekiranya keadaan tidak mengizinkan,” tegas beliau lagi.

Orang ramai juga diminta mengikuti perkembangan bacaan IPU melalui saluran rasmi serta segera melaporkan sebarang kejadian pembakaran terbuka atau kebakaran kepada pihak berkuasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.