PBB bimbang keganasan berterusan di Gaza, Tebing Barat

Bapa membawa jasad anaknya yang terkorban dalam serangan di Gaza untuk dikebumikan/Foto REUTERS

NEW YORK, 1 September – Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menyuarakan kebimbangan terhadap serangan berterusan Israel di Gaza serta keganasan pendatang haram Israel di Tebing Barat, lapor Xinhua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kanak-kanak terkorban; serangan merosakkan kemudahan Hospital Al Aqsa di Deir Al-Balah; orang awam dan kemudahan perubatan mesti dilindungi.
  • Persediaan menghadapi musim hujan terganggu oleh kekurangan dana, sekatan barang, kekurangan minyak enjin, alat ganti dan jentera berat.
  • Keganasan pendatang haram di Tebing Barat mencetus kecurian, pembakaran, serangan; insiden di Al Mughayyir cedera hampir 12 Palestin, halang pergerakan ambulans.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) berkata pihaknya bimbang terhadap kesan serangan udara dan tindakan ketenteraan Israel yang berterusan sepanjang hujung minggu terhadap orang awam.

“Antara yang amat membimbangkan ialah laporan bahawa seorang kanak-kanak lelaki antara yang terkorban dan satu daripada serangan itu merosakkan beberapa kemudahan di kawasan Hospital Al Aqsa di Deir Al-Balah.

“Orang awam dan kemudahan awam termasuk hospital mesti dilindungi pada setiap masa.

“Ia tidak seharusnya diserang atau digunakan bagi tujuan ketenteraan,” menurut pejabat itu.

OCHA berkata pihaknya bekerjasama dengan rakan kemanusiaan bagi membuat persediaan menghadapi musim tengkujuh.

Sepanjang hujung minggu, pihak berkuasa tempatan di Gaza memaklumkan kepada rakan kemanusiaan bahawa mereka telah mengenal pasti keperluan berkaitan risiko banjir di ratusan lokasi di seluruh Semenanjung Gaza.

Wartawan Palestin mengadakan upacara solidariti memperingati rakan mereka yang terbunuh dalam serangan di Gaza pada 25 Ogos lalu/Foto REUTERS

Keperluan itu termasuk membersihkan sistem saliran, mengalihkan runtuhan dan sisa pepejal, meratakan kawasan, memastikan pam sedia digunakan serta menempatkan peralatan lebih awal di lokasi strategik.

“Bagaimanapun, rakan kemanusiaan memberi amaran bahawa usaha membantu penduduk membuat persediaan menghadapi musim sejuk terbatas akibat kekurangan dana, sekatan terhadap kelulusan dan jumlah barangan yang dibenarkan memasuki Gaza serta kekurangan minyak enjin, alat ganti dan jentera berat.

“Usaha juga terjejas kerana sebahagian besar kawasan di Gaza masih tidak dapat diakses, termasuk kawasan yang kurang terdedah kepada banjir dan boleh digunakan untuk mendirikan khemah,” menurut kenyataan itu.

Sebahagian besar wilayah sempit itu ditetapkan sebagai kawasan larangan oleh tentera Israel.

Keganasan berkaitan pendatang haram Israel turut berterusan sepanjang hujung minggu, membabitkan kejadian kecurian, pembakaran, vandalisme, serangan dan konfrontasi di beberapa kawasan sehingga menyebabkan kecederaan serta kerosakan harta benda, menurut OCHA yang memetik laporan rakan kemanusiaan.

Di kawasan Al Mughayyir di Ramallah, rakan kemanusiaan melaporkan serangan oleh pendatang haram Israel yang diiringi tentera Israel selama tiga hari berturut-turut.

Serangan itu mencederakan hampir 12 rakyat Palestin dan pada masa tertentu menghalang pergerakan orang ramai serta kenderaan termasuk ambulans, menurut OCHA. – BERNAMA-XINHUA

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.