
KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Kemerdekaan bukan sekadar kibaran Jalur Gemilang atau sorakan dalam sesuatu acara, sebaliknya merupakan amanah keimanan dan pengorbanan yang menuntut keadilan serta kesejahteraan untuk seluruh rakyat.
- Mengimbau pengorbanan dan perjuangan pemimpin terdahulu sebagai pengajaran, selaras dengan amanat Perdana Menteri dan harapan Sasterawan Negara.
- Memastikan nikmat pembangunan dan kesejahteraan dinikmati seluruh lapisan masyarakat melalui usaha berterusan.
- Program MADANI: peluasan BUDI MADANI, pendidikan inklusif, langganan AI percuma untuk golongan muda serta sokongan kepada usahawan kecil.
- Menegaskan kuasa sebagai amanah Allah, mengekalkan kebajikan rakyat, doa untuk keamanan dan sambutan Hari Kebangsaan bertema Malaysia MADANI.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, penghayatan terhadap erti kemerdekaan sejati perlu disemai dengan mengenang kembali pengorbanan dan perjuangan tokoh terdahulu dalam membina negara.
“Amanat Perdana Hari Kebangsaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuntik keinsafan mendalam menerusi imbauan terhadap landasan perjuangan tokoh-tokoh negara, termasuk Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Almarhum Dr Burhanuddin Al-Helmy.
“Amanat berkenaan turut mengangkat harapan Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr A. Samad Said terhadap generasi masa depan yang berilmu, tangkas serta mampu hidup bersama dalam suasana harmoni,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Dr Zulkifli berkata, kemerdekaan perlu dimaknai melalui usaha berterusan memastikan nikmat pembangunan dan kesejahteraan dapat dirasai seluruh lapisan masyarakat.
Jelasnya, meskipun negara berdepan cabaran termasuk Krisis Tenaga Dunia, Kerajaan MADANI terus menterjemahkan amanah pemerintahan menerusi langkah menangani beban sara hidup dan memelihara kesejahteraan rakyat.
Antara langkah itu termasuk peluasan kelayakan BUDI MADANI bagi memastikan pengagihan subsidi lebih adil, penyediaan prasarana pendidikan inklusif untuk semua jenis sekolah serta langganan percuma aplikasi kecerdasan buatan (AI) bagi memperkasakan daya cipta dan ilmu generasi muda.
Selain itu, usaha mempercepatkan perkhidmatan kesihatan dengan mengurangkan tempoh menunggu di klinik dan hospital kerajaan serta kelonggaran ambang e-Invois dan peningkatan dana pinjaman turut dilaksanakan bagi menyokong kelangsungan usahawan dan peniaga kecil.
Dr Zulkifli menegaskan kuasa merupakan amanah Allah yang akan dipersoalkan dan dihisab, justeru usaha menjaga kebajikan rakyat perlu diteruskan bagi memastikan kemerdekaan diterjemahkan dalam bentuk kehidupan yang lebih sejahtera, bermaruah dan diredai.
Beliau turut mendoakan agar Malaysia terus kekal aman dan berdaulat serta sentiasa berada dalam naungan rahmat Allah SWT.
Beliau dalam hantaran sama turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan 2026 yang bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”.