
SIBU, 31 Ogos – Kira-kira 23 penumpang cedera selepas sebuah bas persiaran terlibat dalam kemalangan di Bulatan Kanowit, Sibu Jaya, awal pagi tadi.
- Panggilan kecemasan diterima pada 2.25 pagi oleh Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak.
- Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Jaya dikerahkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.
- Orang awam membantu mengeluarkan 42 mangsa sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
- Mangsa cedera menerima rawatan awal dan dihantar ke Hospital Sibu serta Hospital Kanowit untuk rawatan lanjut.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 2.25 pagi.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat.
Menurut kenyataan itu, pasukan bomba membantu mengeluarkan seorang wanita yang masih berada di dalam bas untuk dibawa ke tempat selamat.
“Seramai 42 mangsa lain telah dibantu keluar dari bas oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat,” menurut kenyataan itu.
Kesemua mangsa yang cedera menerima rawatan awal daripada pasukan perubatan sebelum dihantar ke Hospital Sibu dan Hospital Kanowit untuk rawatan lanjut.
Operasi yang melibatkan enam anggota bomba itu tamat kira-kira 4.50 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.