11,060 sukarelawan Sahabat MADANI berdaftar di seluruh negara

Foto Jabatan Perdana Menteri

BUKIT MERTAJAM, 29 Ogos – Sebanyak 11,060 sukarelawan Sahabat MADANI telah berdaftar di seluruh negara, sekali gus menjadi gerakan kesukarelawanan nasional yang memperkukuh nilai hormat, menyatukan masyarakat dan menggerakkan khidmat bakti merentasi kaum, agama serta latar belakang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menumpukan khidmat masyarakat memberi manfaat langsung: menyantuni yang memerlukan, membantu anak keciciran, buka peluang kerjaya dan bantuan ketika musibah.
  • Beroperasi berteraskan tindakan, ketelusan dan keberhasilan serta penyelarasan inklusif untuk memperluas manfaat pembangunan dan elakkan golongan tercicir.
  • Mengajak generasi muda menolak perpecahan, menyumbang tenaga dan kepakaran demi keharmonian serta kesejahteraan dinikmati semua.

Menurut Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), jaringan itu menumpukan kepada khidmat masyarakat yang membawa manfaat langsung, termasuk menyantuni golongan memerlukan, membantu anak keciciran pendidikan, membuka peluang kerjaya dan perniagaan kepada belia serta menghulurkan bantuan ketika musibah.

“Roh dan jiwa reformasi diterjemahkan melalui Sahabat MADANI dengan membentuk jaringan kerjasama nasional antara kerajaan, sukarelawan dan komuniti yang berteraskan tindakan, ketelusan serta keberhasilan untuk rakyat.

“Melalui penyelarasan yang tersusun, inklusif dan responsif, khidmat serta intervensi disalurkan berdasarkan keperluan sebenar, sekali gus memperluas manfaat pembangunan, memperkukuh keupayaan komuniti dan memastikan tiada golongan tercicir,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Sahabat MADANI Peringkat Kebangsaan pada Majlis Kemuncak Ambang Merdeka Sahabat MADANI 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang.

Tambah ICU JPM, bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ini, semangat kemerdekaan bukan sahaja diterjemahkan melalui kibaran Jalur Gemilang, tetapi juga menerusi kesediaan rakyat untuk berkhidmat, memelihara integriti serta membela golongan yang memerlukan.

“Khidmat bakti merentasi perbezaan menjadi landasan untuk memupuk keharmonian dan mempererat hubungan masyarakat, selain menyatukan rakyat dalam usaha membebaskan negara daripada kemiskinan, kesempitan hidup, rasuah dan ketidakadilan.

“Berpaksikan aspirasi Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati, Sahabat MADANI dihasratkan menjadi kekuatan kolektif yang membudayakan rasa peduli, tanggungjawab serta penyertaan aktif seluruh lapisan masyarakat.

“Generasi muda diseru menolak sentimen perpecahan serta menyumbang tenaga dan kepakaran demi kemajuan negara, sekali gus membina rakyat yang bersatu dalam khidmat, teguh dalam keharmonian dan bergerak bersama memastikan kesejahteraan dapat dinikmati semua,” menurut kenyataan itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.