
PORT DICKSON, 29 Ogos – Kadar fi konservasi baharu di Taman Eko Rimba (TER) Negeri Sembilan sebanyak RM3 untuk warganegara dan RM6 untuk bukan warganegara, akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 1 September ini.
- Pelaksanaan fi bertujuan menampung kos penyelenggaraan dan menaik taraf fasiliti serta memelihara kelestarian alam.
- Kutipan dilaksanakan secara berfasa di beberapa lokasi bagi mendapatkan maklum balas rakyat dan nasihat kerajaan negeri.
- Tiga kaedah pembayaran disediakan: N9 Pay, terminal kad debit dan bayaran tunai di pintu masuk.
Menurut Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan, Ts. Mohd Yussainy Md Yusop, pelaksanaan fi berkenaan bertujuan menampung kos penyelenggaraan serta menaik taraf kemudahan fasiliti demi keselesaan dan keselamatan para pengunjung.
Selain, memelihara kelestarian alam semula jadi bagi memastikan kawasan hutan rekreasi di negeri itu terus terpelihara.
Beliau berkata, kutipan akan dilaksanakan secara berfasa bermula di dua lokasi pada September, diikuti fasa kedua pada Oktober dan fasa ketiga pada November.
“Kita akan melihat maklum balas daripada rakyat dan mendapatkan nasihat daripada kerajaan negeri mengenai kaedah terbaik untuk menambah baik kutipan data ini.
“Bagi bayaran fi konservasi pula, kita mahu memudahkan orang ramai dengan menyediakan tiga kaedah pembayaran, iaitu melalui N9 Pay, terminal kad debit, selain bayaran tunai yang turut diterima di pintu masuk, ” katanya ketika ditemui media selepas Program Penanaman Pokok 1008 di Hutan Simpan Sungai Menyala, di sini.
Ketika ini, Negeri Sembilan mempunyai 10 TER dan 14 kawasan pendakian.
Mengenai program tersebut, ia merupakan anjuran Persatuan Sosial i-Tenaga dan Pertubuhan Yogasana Tabovanam yang menyumbang kepada sasaran tahunan tanaman 400,000 pokok bagi menjayakan misi penanaman dua juta pokok menjelang tahun 2030.
Turut hadir, Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO Negeri Sembilan, Suhaimizan Bizar.