
KULAI, 28 Ogos – Sebanyak 5,944 kes penipuan diterima menerusi panggilan ke Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) setakat April lalu.
- Penipuan e-dagang merekodkan jumlah tertinggi iaitu 2,566 kes.
- Penipuan telekomunikasi merekodkan 1,369 kes.
- Kesedaran dan literasi digital perlu dipertingkat untuk bantu orang ramai kenal pasti dan elak penipuan dalam talian.
- NSRC kini dikendalikan oleh polis; mangsa digalakkan hubungi 997 dalam 24 jam untuk membekukan akaun dan jejak aliran wang.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, daripada jumlah itu, kes penipuan e-dagang merekodkan jumlah tertinggi iaitu 2,566 kes, diikuti penipuan telekomunikasi sebanyak 1,369 kes.
Menurutnya, meskipun masyarakat semakin mengetahui kewujudan talian NSRC, jumlah kes yang dilaporkan menunjukkan masih ramai individu menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Justeru, beliau berkata, kesedaran serta literasi digital dalam kalangan masyarakat perlu terus dipertingkat bagi membantu orang ramai mengenal pasti dan mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.
“Kalau ikut statistik NSRC, ini adalah satu talian yang memang kita menggalakkan mangsa-mangsa scam untuk terus telefon 997. Kalau dalam tempoh 24 jam mereka kena scam, ada peluang untuk pihak bank membekukan akaun dan pada masa sama mengesan aliran wang.
“NSRC kini dikendalikan oleh pihak polis, jadi panggilan telefon itu juga akan menjana laporan polis,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Internet Selamat di Hutan Bandar di sini.
Menyentuh sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini, Nie Ching
meminta supaya syarikat telekomunikasi dapat memastikan rangkaian jalur lebar berada pada tahap terbaik sepanjang sambutan berlangsung di Putrajaya.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan kelancaran komunikasi dan capaian internet, susulan jangkaan kehadiran kira-kira 100,000 pengunjung pada sambutan berkenaan.