
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus mencatat prestasi berdaya tahan bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, sekali gus memperkukuh kedudukannya dalam menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan selamat.
- Prestasi berdaya tahan membolehkan TNB terus melabur dalam infrastruktur kritikal, memperkukuh bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan selamat.
- Prestasi operasi yang kukuh menerjemah kepada kedudukan kewangan sihat, membolehkan pelaburan berterusan dan pulangan kepada pemegang saham.
- Pendapatan separuh pertama 2026 RM2.0 bilion disokong peningkatan jualan elektrik terutamanya sektor komersial dan kenaikan keuntungan operasi.
- Daya tahan kewangan menyokong pemodenan grid, integrasi tenaga boleh baharu, pendigitalan dan peluasan infrastruktur bagi keterjaminan tenaga jangka panjang.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Shamsul Ahmad berkata, daya tahan itu membolehkan TNB terus melabur dalam ekosistem tenaga Malaysia dan dalam masa sama memberi nilai kepada pemegang taruhnya.
“Prestasi ini membolehkan kami untuk terus melabur dalam infrastruktur kritikal yang bukan hanya membekalkan tenaga kepada isi rumah dan perniagaan, malah memperkukuhkan keterjaminan tenaga negara, selain mempercepatkan peralihan tenaga serta memastikan kami dapat terus menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan selamat di samping mencipta nilai buat pelanggan, pemegang saham dan negara,” katanya menerusi kenyataan.
Jelasnya, prestasi operasi yang baik juga diterjemahkan kepada kedudukan kewangan yang sihat, membolehkannya meneruskan pelaburan dalam infrastruktur kritikal, selain memberikan pulangan kepada pemegang saham.
“Bagi Separuh Pertama 2026, TNB mencatatkan pendapatan RM2.0 bilion, disokong oleh peningkatan jualan elektrik, yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh sektor komersial serta peningkatan keuntungan operasi,” katanya.
Prestasi yang stabil ini membolehkan Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 25 sen sesaham, selaras dengan dasar dividen syarikat.
Pembayaran dividen tersebut berjumlah RM1.5 bilion yang akan diagihkan kepada pemegang saham TNB, dengan 64.1 peratus disalurkan ke syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dan Lembaga Tabung Haji.
“Manfaat ini dipulangkan secara terus kepada jutaan rakyat Malaysia, lantas mencerminkan komitmen TNB dalam memberi nilai di samping menyumbang kembali kepada negara,” katanya lagi.
Daya tahan kewangan TNB terus menyediakan asas kukuh bagi pelaburan berterusan dalam pemodenan grid, integrasi tenaga boleh baharu, pendigitalan dan peluasan infrastruktur yang menyokong keterjaminan tenaga serta pembangunan ekonomi jangka panjang Malaysia.