
KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menerima menghadap Mufti Negeri Johor Datuk Yahya Ahmad dan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Zaidin Mohd Noor di Istana Negara hari ini.
- Dipersembah perancangan Majlis Pengkisahan Sejarah Institusi Mufti Negeri Johor dan pelancaran Buku Bibliografi Mufti-Mufti Negeri Johor.
- Majlis bertujuan memberi pendedahan tentang sejarah, peranan institusi Islam Johor serta gaya pemikiran dan sumbangan Mufti sejak 1896.
- Yahya mempersembahkan perkembangan pembinaan Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, menampilkan seni bina Asia Tengah berinspirasikan Uzbekistan.
- Masjid dibiayai wang peninggalan Almarhum Tunku Abdul Jalil, terletak berhampiran Istana Bukit Serene dan mampu menampung hampir 1,000 jemaah.
Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Raja Zarith Sofiah dipersembah maklum mengenai perancangan Majlis Pengkisahan Sejarah Institusi Mufti Negeri Johor dan Pelancaran Buku Bibliografi Mufti-Mufti Negeri Johor.
Majlis berkenaan bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai sejarah dan peranan institusi agama Islam di Johor, selain merungkai gaya pemikiran, sumbangan serta pencapaian Mufti-Mufti Johor sejak 1896.
Dalam pertemuan itu, Yahya turut mempersembahkan kepada Raja Permaisuri Agong perkembangan pembinaan Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil di Johor Bahru, yang bakal menampilkan seni bina Islam Asia Tengah berinspirasikan seni Uzbekistan.
Pada 5 Mac lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut berkenan menerima taklimat terkini mengenai kemajuan pembinaan masjid berkenaan.
Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil dibina menggunakan wang peninggalan anakanda Seri Paduka Baginda, Tunku Laksamana Johor Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, yang mangkat pada 5 Dis 2015.
Terletak di Jalan Kolam Air berhampiran Istana Bukit Serene, masjid itu mampu menampung hampir 1,000 jemaah pada satu-satu masa.
Pembinaan masjid berkenaan bukan sahaja menjadi kemudahan ibadah untuk masyarakat setempat, malah bakal memperkayakan landskap seni bina Islam di Johor menerusi penerapan elemen seni bina Asia Tengah yang diinspirasikan daripada Uzbekistan.