
KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Masjid Muhammadi Angkasapuri menerima sumbangan sebuah peranti defibrilator luaran automatik (AED), yang boleh digunakan sebagai bantuan awal kepada mangsa serangan jantung sebelum mendapat rawatan lanjut di hospital.
- Kemudahan AED penting sebagai langkah persediaan menjaga keselamatan dan kesihatan jemaah serta pengunjung masjid.
- Pihak pengurusan akan mengadakan latihan kepada jawatankuasa dan petugas supaya AED dapat digunakan dengan betul semasa kecemasan.
- Dermawan, korporat dan NGO digalak menyumbang AED; usaha perlu diperluas ke pejabat, sekolah dan lokasi awam lain.
Pengerusi Masjid Muhammadi Angkasapuri, Hamzah Ishak berkata, kemudahan itu penting sebagai langkah persediaan bagi menjaga keselamatan dan kesihatan jemaah, termasuk orang awam yang berkunjung ke masjid berkenaan.
“Kita mengharapkan perkara yang baik ini menjadi pencetus kepada usaha dermawan lain untuk bersama-sama membantu pihak pengurusan masjid kerana masjid adalah tempat yang boleh diakses semua pihak.
“Kalau boleh, kita harap alat ini tidak digunakan, tetapi apabila berlaku serangan jantung dan sebagainya, kita sekurang-kurangnya boleh membantu pada peringkat awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM selepas program Ceramah Khas Sambutan Maulidur Rasul dan Sumbangan Kit AED yang disampaikan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Restoran Ali Maju Sdn. Bhd., Datuk Jawahar Ali Taib Khan di Masjid Muhammadi di sini hari ini.
Pihak pengurusan masjid akan mengadakan latihan kepada ahli jawatankuasa dan petugas berkaitan bagi memastikan AED itu dapat digunakan dengan betul ketika berlaku kecemasan.
Sementara itu, Datuk Jawahar pula berkata, sumbangan berkenaan tercetus hasil perkongsian mengenai keperluan menyediakan AED di lokasi awam, khususnya masjid dan surau.
“Saya rasa terpanggil untuk menyumbang AED ini. Mengapa tidak selepas ini NGO (pertubuhan bukan kerajaan), korporat dan dermawan di luar sana menyumbangkan sekurang-kurangnya satu unit AED untuk masjid dan surau Jumaat,” katanya.
Penyediaan AED perlu dilihat sebagai satu usaha membantu mangsa serangan jantung mendapatkan rawatan awal dengan pantas sementara menunggu bantuan pihak perubatan.
Usaha itu juga wajar diperluas ke lokasi awam lain termasuk pejabat dan sekolah bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan.